Palestin sebagai Anggota Penuh PBB: Malaysia sambut baik Resolusi Perhimpunan Agung
Farhan Hakimi
Mei 11, 2024 12:57 MYT
Mei 11, 2024 12:57 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar Majlis Keselamatan PBB menimbang semula permohonan Palestin untuk diterima sebagai Anggota Penuh PBB.
Ia setelah permohonan tersebut digagalkan oleh satu undi veto pada bulan lalu, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Resolusi yang diluluskan pada Sesi Kecemasan Khas ke-10 Perhimpunan Agung PBB pada Jumaat (10 Mei) itu disokong oleh 143 buah negara, sambil sembilan menentang dan 25 berkecuali.
"Sokongan melebihi dua pertiga Negara Anggota PBB untuk menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri dan hak untuk Negara Palestin yang berdaulat, menzahirkan komitmen masyarakat antarabangsa yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.
"Resolusi ini juga memberikan hak dan keistimewaan kepada Palestin untuk menyertai secara penuh sesi-sesi di PBB," katanya.
Wisma Putra berkata, Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi tersebut, bersama-sama 76 Negara Anggota PBB yang lain.
Tambahnya, Malaysia akan meneruskan usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh PBB.