Palestin anggap kerajaan baharu Israel tetap sama atau lebih teruk daripada Netanyahu

Bernama
Jun 14, 2021 12:25 MYT
Neftali Bennett akan menerajui pentadbiran Israel selama dua tahun diikuti parti Yair Lapid untuk tempoh dua tahun berikutnya. - Gambar AP
GAZA: Kumpulan pejuang Hamas pada Ahad berkata mereka tidak mengharapkan berlakunya perubahan positif daripada kerajaan Israel pasca-Netanyahu, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami tidak mengharapkan perubahan dalam kerajaaan penceroboh, kerana mereka bersatu dengan dasar membunuh dan merampas hak Palestin," tulis jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri di Twitter.
Abu Zuhri mengaitkan kegagalan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu membentuk kerajaan sebagai "kemenangan" dalam pertempuran 11 hari antara Hamas dan Israel pada Mei.
Di bawah perjanjian gabungan baharu antara lapan parti Israel, Perdana Menteri. Neftali Bennett akan menerajui pentadbiran Israel selama dua tahun diikuti parti Yair Lapid untuk tempoh dua tahun berikutnya.
Pembentukan kerajaan baharu itu sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan 12 tahun Netanyahu.
BACA: Naftali Bennett perdana menteri baharu Israel, akhiri penguasaan 12 tahun Netanyahu
Setiausaha Agung Pergerakan Inisisatif Kebangsaaan Palestin, Mustafa Barghouti, memberi amaran bahawa kerajaan Bennett akan menyokong penyelesaian pendudukan haram dan diskriminasi kaum serta dilihat bakal lebih ekstrem berbanding pemerintahan sebelum ini.
"Kerajaan baharu ini tiada bezanya dengan pemerintahan Netanyahu, kerana ia adalah kerajaan penjajah, penceroboh dan mengamalkaan diskriminasi kaum seperti kerajaan sebelum ini dan bahkan lebih teruk," kata Barghouti.
Ia dapat dibuktikan berdasarkan kenyataan Bennett pada Ahad mengenai perluasan kawasan penempatan ke kawasan C Tebing Barat.
Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan pihak berkuasa Palestin, Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dibahagikan kepada tiga bahagian - Kawasan A, B, dan C - dengan kawasan C di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Israel sehingga perjanjian akhir dengan Palestin dicapai.
Barghouti menyeru warga Palestin dan dunia untuk menghadapi "kerajaan perkauman" melalui cara penentangan, boikot, dan sekatan. - BERNAMA
#Palestin #Israel #Benjamin Netanyahu #Neftali Bennett #Hamas #pejuang Hamas
;