Palapes tingkat semangat patriotisme antara kaum
Wan Syamsul Amly
Ogos 12, 2017 16:40 MYT
Ogos 12, 2017 16:40 MYT
Program Pegawai Kadet Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam berjaya meningkatkan semangat patriotisme di kalangan mahasiswa yang menyertainya.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi seharusnya memantapkan lagi program itu dengan usaha penambahbaikan selain disokong semua pihak.
Titah baginda, program Palapes sekali gus membantu institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat dalam menyediakan mahasiswa yang bersahsiah tinggi dan berilmu.
"Beta berharap agar graduan-graduan yang telah diterapkan melalui latihan ketenteraan di Palapes akan menjadi warganegara yang berkualiti dan diharap akan memberi nilai tambah kepada negara dan bangsa.
"Beta juga berharap agar usaha-usaha akan terus ditingkatkan, bagi menarik lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai kaum untuk mengikuti program ini, sekali gus akan meningkatkan lagi semangat muhibah antara kaum melalui latihan yang berteraskan 'esprit de corps'," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam Ke-36 di Padang Kawat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini.
Pentauliahan pada tahun ini melibatkan seramai 1,832 Kadet Palapes Universiti Awam (UA) yang terdiri daripada 757 pegawai kadet lelaki dan 1,075 pegawai kadet wanita daripada 18 UA di seluruh negara.
Seramai 33 orang kadet ditauliahkan sebagai kadet terbaik secara keseluruhan kali ini.
Tahun ini merupakan kali kelima UiTM diberi penghormatan bagi menganjurkan istiadat diraja itu sejak penubuhan Palapes pada 1979.
Komandan Palapes UiTM yang keenam kini disandang Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Titah baginda lagi, tema 'Mahasiswa perkasa aset keteguhan negara' kali ini bertepatan dengan masa dan senario semasa negara.
"Usaha kerajaan melaksanakan program latihan khidmat negara adalah bertujuan untuk memupuk dan melahirkan generasi-generasi muda lepasan sekolah yang dinamik, sama ada dari segi akademik mahupun sahsiah.
"Program ini perlulah disokong dan falsafah di sebalik program ini pula haruslah dihayati. Semua pihak yang terbabit perlu komited agar program ini mencapai objektif-objektif yang telah digariskan," titah baginda.
Palapes pada dasarnya dikendalikan dengan berlandaskan silibus yang disediakan untuk melatih pegawai kadet angkatan tetap di Kolej Tentera Darat (KTD).
Silibus yang memakan masa setahun enam bulan di KTD itu, bagaimanapun telah diubahsuai untuk merangkumi jangka masa tiga tahun sesuai dengan jangka masa pengajian seorang siswa dan siswi yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi sebelum menerima ijazah.
Penilaian secara berterusan dilakukan bagi memenuhi keperluan mengikut Rancangan Pengurusan Latihan (RPL) yang disediakan.
Ujian di peringkat kem dan fasa medan dilakukan oleh Tim Validasi iaitu pegawai dan jurulatih daripada pusat-pusat latihan tentera bagi memastikan tahap pencapaian pegawai kadet yang ditauliahkan memenuhi kriteria yang ditetapkan.