PAKP perkenal kad diskaun Prihatin Pahang

Astro Awani
Oktober 21, 2020 12:39 MYT
ZUHAIRI: Pelanggan hanya perlu menunjukkan kad untuk menikmati pelbagai diskaun menarik dari lima hingga 50 peratus yang ditawarkan rakan niaga PAKP mengikut terma dan syarat ditetapkan.
KUANTAN: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, hampir semua industri terjejas teruk susulan penularan COVID-19 dan penduduk tempatan turut hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Namun, bagi menyokong pertumbuhan semula ekonomi setempat dan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) mengambil inisiatif mewujudkan Program Kad Prihatin Pahang.
Menerusi program itu, kata Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat PAKP, Datuk Sri Zuhairi Ab Kadir, pihaknya memperkenalkan sistem keahlian kad diskaun pertama untuk warga Pahang berbelanja dari banyak tempat di seluruh negeri.
Beliau berkata, program itu mampu meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi manfaat situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Kad diskaun ini merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih iaitu perkhidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan dan pendidikan.
“Pelanggan hanya perlu menunjukkan kad ini untuk menikmati pelbagai diskaun menarik dari 5 hingga 50 peratus yang ditawarkan rakan niaga PAKP mengikut terma dan syarat ditetapkan,” katanya kepada media hari ini.
Kos keseluruhan sistem kad itu bernilai RM2 juta dan akan dibangunkan Trizure International Malaysia Sdn Bhd, tambahnya.
Zuhairi menjelaskan, sistem kad diskaun itu berbeza dengan mana-mana kad diskaun lain kerana PAKP turut melibatkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan peniaga dalam talian bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian.
“Sejajar dengan slogan kami ‘Di Pahang, Segalanya Jimat’, kami meletakkan sasaran pengguna kad ini kepada kira-kira 500,000 orang sehingga pertengahan tahun hadapan, yang akan dijadikan pelanggan setia kepada rakan niaga PAKP.
“Sebagai permulaan, kami giat melakukan pendaftaran rakan niaga dan jumlah penyertaan akan bertambah dari semasa ke semasa sebelum kad diskaun diedarkan kepada ahli di negeri ini."
#kad diskaun #COVID-19 #Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang #PAKP #zuhairi ab kadir #Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat PAKP #ekonomi #Pahang #Program Kad Prihatin Pahang
;