Pakistan punyai potensi besar untuk perdagangan Malaysia - PM
Ifwan Tun Tuah
Oktober 3, 2024 05:30 MYT
Oktober 3, 2024 05:30 MYT
ISLAMABAD: Dengan populasi penduduk mencecah 250 juta orang, Pakistan sebenarnya mempunyai potensi hubungan perdagangan yang besar namun belum diteroka sepenuhnya oleh Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hakikat itu diakui oleh beliau dan rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif, ketika pertemuan mereka dalam Lawatan Negara beliau ke negara itu.
“Dua negara ini akui bahawa prestasi perdagangan itu sangat rendah, padahal (mempunyai) potensi yang besar.
“Sebab itu kita kenal pasti beberapa projek dan juga langkah yang harus diambil termasuk seperti yang saya katakan tadi, eksport dari Pakistan seperti beras dan daging… dan import yang akan lebih meningkat (iaitu) kelapa sawit.
“Kemudian, mereka (mahu) perbesarkan kilang farmaseutikal di Malaysia dan akan ada jaringan supaya dapat mereka kembangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini pada akhir lawatan tiga hari itu. Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Anwar tiba di Pakistan pada Rabu dan dijadualkan bertolak ke Bangladesh pagi ini (Jumaat).
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau berpuas hati dengan lawatan ini yang menyaksikan Pakistan dan Malaysia bersungguh-sungguh untuk meningkatkan hubungan dalam semua bidang termasuk perdagangan dan teknologi pertanian.
Kedua-dua negara, katanya, akan turut memperluas kerjasama dalam sektor pekerja mahir menerusi bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan semikonduktor.
Perdana Menteri berkata, Pakistan juga berpotensi untuk menjadi pintu masuk kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan pasaran ke Asia Tengah dan Asia Barat.