Pakistan jadi pintu masuk Malaysia teroka pasaran Asia Tengah

Ifwan Tun Tuah
Oktober 1, 2024 07:15 MYT
Azhar berkata, Malaysia perlu melihat potensi ditawarkan Pakistan dengan lebih jauh, melebihi peluang yang ada di republik itu semata-mata. - Gambar Astro AWANI
ISLAMABAD: Malaysia perlu meneroka peluang untuk menjadikan Pakistan sebagai pintu masuk perdagangan ke pasaran Asia Tengah terutama membabitkan Kyrgyzstan, Tajikistan, Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan berkata, Pakistan sendiri mempunyai potensi pasaran yang amat besar dengan populasi penduduk seramai 250 juta orang.
“Pakistan ada pasaran dan juga populasi di sini seramai 250 juta orang. Sebanyak 60 peratus daripada populasi di sini adalah orang muda. Jadi kalau kita tengok dari segi masa depan, Pakistan ini adalah salah satu negara yang kita boleh jadikan betul-betul rakan strategik kita.
“Bukan sahaja di sini, (kita juga boleh) tembusi pasaran di Afghanistan dan juga di Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Tajikistan, Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan.
“Macam landasan atau gateway (pintu masuk). Sebab kalau kita lihat Asia Tengah, lima negara yang saya itu tadi adalah landlocked. Dia tak ada pelabuhan, tak ada laut. Jadi dia terpaksa melalui Pakistan dan barulah sampai ke negara mereka,” katanya dalam sidang media sempena Lawatan Negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan bermula hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Azhar berkata, Malaysia perlu melihat potensi ditawarkan Pakistan dengan lebih jauh, melebihi peluang yang ada di republik itu semata-mata.
“Jadi kita kena lihat pasaran ini beyond Pakistan sahaja... dan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan negara-negara Arab... dan Arab Saudi contohnya, Emirates contohnya... adalah antara pelabur-pelabur yang besar di sini.
“Dan kita perlu menggunakan peluang ini untuk sama-sama melihat Pakistan sebagai salah satu negara yang mana kita boleh mengadakan hubungan pelaburan dan perdagangan untuk hari ini dan juga masa hadapan,” katanya.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM7.84 bilion (AS$1.4 bilion) pada 2023,. Antara barangan didagangkan ialah minyak sawit, pakaian, tekstil, produk kimia, serta peralatan elektrik dan elektronik.
Dalam kalangan negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia.
Malaysia pula adalah rakan dagangan ke-14 terbesar dan destinasi eksport ke-14 terbesar Pakistan, serta sumber import ke-15 terbesar.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Pakistan #peluang perdagangan
;