Pakej umrah: Bakal jemaah terkesan diminta bincang semula dengan agensi pelancongan

Bernama
Mac 20, 2021 04:16 MYT
Pandemik COVID-19 telah menghentikan segala bentuk perniagaan pelancongan termasuk haji dan umrah. - Foto fail
SHAH ALAM: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) memohon agar bakal jemaah terkesan yang telah menempah pakej bagi menunaikan ibadah itu agar berbincang semula dengan agensi pelancongan masing-masing.
Presiden PAPUH Malaysia Datuk Seri Razali Mohd Sham menyarankan agar bakal jemaah terbabit membenarkan agensi pelancongan menjadualkan semula tarikh berlepas setelah pintu sempadan negara dibuka.
"PAPUH berharap ini akan dapat membantu ahli kami dalam situasi menang-menang. Sekiranya pintu sempadan dibuka dalam masa terdekat, ini sudah tentu dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh agensi pelancongan masa kini," menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata sebelum Malaysia dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, ahli PAPUH tidak mempunyai sebarang masalah untuk memasarkan pakej umrah mereka.
"Sebagai agensi pelancongan, sudah tentu setiap pakej yang dibeli akan dikenakan bayaran pendahuluan. Bayaran pendahuluan yang diterima dari jemaah ini, pada lazimnya digunakan untuk pembayaran tempahan tiket penerbangan dan tempat penginapan di Mekah dan Madinah," katanya.
Razali berkata pandemik COVID-19 telah menghentikan segala bentuk perniagaan pelancongan termasuk haji dan umrah dan ini sudah tentu melibatkan ahli PAPUH dan bakal jemaah yang telah menempah pakej umrah dari Mac hingga Jun 2020.
"Sebagai agensi pelancongan, sudah tentu tidak dapat membuat apa-apa setelah perniagaan mereka terhenti akibat pandemik COVID-19, bayaran penuh dan deposit telah pun dibuat kepada syarikat penerbangan, tempat penginapan serta bayaran visa.
"Rata-rata ahli menggunakan tempat penginapan bertaraf tiga bintang di Mekah dan Madinah yang mana pada masa sekarang, tempat penginapan ini tidak boleh beroperasi dan ada di antaranya sudah menutup operasi mereka," katanya.
Beliau berkata ada antara pengusaha tempat penginapan di Mekah dan Madinah serta syarikat penerbangan yang tidak memulangkan bayaran sebaliknya meminta agensi pelancongan menggunakannya untuk tempahan akan datang apabila situasi COVID-19 reda.
Oleh itu, PAPUH memohon mana-mana kementerian atau agensi kerajaan tampil membantu ahlinya menyelesaikan masalah tersebut.
-- BERNAMA
#PAPUH #Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia #bakal jemaah #COVID-19 #penjadualan semula #pintu sempadan #dibuka
;