Pakej rangsangan ekonomi adalah bersifat inklusif - MOF

Bernama
November 4, 2020 14:13 MYT
Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasti menunggu manfaat yang diharapkan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan adalah bersifat inklusif dengan tujuan utama meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dalam menangani krisis COVID-19, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd Rahim Bakri.
Kesemua pakej rangsangan ekonomi juga bertujuan meringankan beban rakyat, membantu perniagaan serta memulihkan ekonomi negara, katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah segera dan proaktif dengan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang kesemuanya bernilai RM305 bilion.
"Pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi ini dijangka menyumbang sekitar empat mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mengenai kaedah pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi domestik yang inklusif bagi membantu negara menangani suasana ekonomi yang mencabar sepanjang 2020.
Abd Rahim berkata antara kaedah dan inisiatif pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi sejak awal pandemik COVID-19 adalah Bantuan Prihatin National sekali bayar sehingga RM1,600 kepada golongan isi rumah B40, M40 serta individu bujang dan kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.
Kerajaan juga memberi bantuan tunai kepada pemandu e-panggilan, pemandu teksi, bas sekolah, pemandu pelancong dan bas persiaran dengan nilai berjumlah lebih RM70 juta kepada lebih 131,000 penerima, katanya.
Beliau berkata kerajaan juga memperkenalkan Program Subsidi Upah bagi membantu majikan mengekalkan pekerja melibatkan RM11.9 bilion dengan jumlah penerima lebih 2.6 juta pekerja dan lebih 322,000 majikan.
"Kerajaan (menerusi Bank Negara Malaysia) turut mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 125 mata asas sejak Januari 2020 kepada 1.75 peratus untuk meningkatkan aktiviti penggunaan dan pelaburan; dan menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun daripada 3.00 peratus kepada 2.00 peratus bagi meningkatkan kecairan dalam sistem kewangan dan menggalakkan aktiviti pinjaman," katanya,
-- BERNAMA
#Timbalan Menteri Kewangan 1 #Abd Rahim Bakri #pakej rangsangan ekonomi #kerajaan #kesihatan #COVID-19 #pandemik #rakyat #perniagaan #ekonomi
;