Pakej PRIHATIN: Warga JKM juga perlu elaun khas - Dr Wan Azizah

Firdaus Azil
Mac 28, 2020 05:03 MYT
Dr Wan Azizah dan Hannah anggap warga JKM juga layak terima bantuan itu kerana mereka turut menjalankan tugas penguatkuasaan.
Warga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepatutnya menerima elaun khas yang sama seperti pasukan petugas barisan hadapan yang lain.
Ini kerana, ada antara mereka yang turut menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi mengekang penularan wabak COVID-19, sekali gus membolehkan mereka turut menerima bantuan sama.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama bekas timbalan beliau, Hannah Yeoh.
"Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumum Perdana Menteri pada Jumaat, kami mengalu-alukan peruntukan elaun khas RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam serta RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan PKP.
“Bagaimanapun, kami dapati warga kerja JKM yang juga terlibat secara langsung dalam pelaksanaan PKP tiada dalam senarai yang diumumkan itu.
"Mungkin kerajaan terlepas pandang akan peranan JKM," kata kedua-dua pemimpin politik berkenaan.
Dr Wan Azizah dan Hannah berkata, warga kerja JKM yang menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan PKP perlu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan.
Kerajaan juga, kata mereka, perlu menyediakan peralatan perlindungan yang sesuai untuk warga JKM, demi melindungi mereka daripada COVID-19.
#bantuan #COVID-19 #Dr Wan Azizah Wan Ismail #elaun khas #Hannah Yeoh #koronavirus #Pakej Prihatin #pakej rangsangan ekonomi #petugas barisan hadapan #PRIHATIN
;