Pakej PRIHATIN: 'Mak Cik Kiah' dah boleh tersenyum sikit

Bernama
Mac 27, 2020 06:54 MYT
MUHYIDDIN: Keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Mak Cik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. - Gambar Astro AWANI
Analogi penjual pisang goreng bernama Mak Cik Kiah digunakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memperjelas contoh manfaat Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang diyakini mampu membawa senyuman kepada rakyat dalam tempoh mencabar akibat penularan COVID-19 ini.
"Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Mak Cik Kiah penjual pisang goreng yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.
"Anak Mak Cik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Mak Cik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Mak Cik Kiah akan dapat," katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion, pada Jumaat.
Menurut Muhyiddin, di bawah pakej berkenaan keluarga Mak Cik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH (Bantuan Sara Hidup) sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500.
"Kalau suami Mak Cik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Mak Cik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400," katanya.
Selain itu, keluarga Mak Cik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120.
Anak Mak Cik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama enam bulan sebanyak RM1,200, katanya.
Menurut Perdana Menteri, sekiranya Mak Cik Kiah ada membuat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan pisang goreng dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Mak Cik Kiah akan mendapat penjimatan sebanyak RM600 menjadikan keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.
"Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Mak Cik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864.
"Jadi Mak Cik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #ekonomi #keluarga #Mak Cik Kiah #pendidikan #rakyat
;