Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap dilancar, sasar B40, pesara dan warga emas
Abd Hadi Che Awang
Mac 30, 2023 15:19 MYT
Mac 30, 2023 15:19 MYT
SUNGAI PETANI: Kementerian Komunikasi dan Digital hari ini melancarkan inisiatif Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) dengan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had dengan harga hanya RM69 sebulan.
Menurut Menterinya, Fahmi Fadzil pakej yang ditawarkan dengan kontrak langganan selama 24 bulan itu bertujuan bagi mengurangkan bebanan golongan sasar iaitu golongan B40, veteran Angkatan Tentera Malaysia, pesara polis, pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, orang kurang upaya serta warga emas.
Jelas beliau, pakej berkenaan juga adalah adalah 22 peratus lebih murah jika dibandingkan dengan harga pakej semasa iaitu sekitar RM89 dengan spesifikasi sama.
Keadaan itu sekali gus membolehkan penjimatan dapat dilakukan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak iaitu selama dua tahun.
Tawaran ini juga adalah disifatkan sebagai satu indikator yang membuktikan Kerajaan Perpaduan bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.
Antara penyedia perkhidmatan yang terlibat dalam inisiatif ini adalah Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan YTL.
"Saya percaya inisiatif ini dengan jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan bersama penyedia perkhidmatan internet jalur lebar tetap terhadap keperluan (rakyat).
"Ianya juga adalah bagi memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia Madani (yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)."
Fahmi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) di Dewan Penduduk Taman Sri Wang, Sungai Petani pada Khamis.
Sebelum ini, Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih dengan harga serendah RM30 telah mula dijual bermula 28 Februari lepas.
Menurut Fahmi, menerusi pakej itu golongan belia, B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya mendapat manfaat perkhidmatan internet berkelajuan tinggi pada harga yang lebih murah.
Tambah beliau, banyak lagi inisiatif kemudahan telekomunikasi akan diumumkan dalam masa terdekat demi memastikan rakyat menikmati kemudahan akses internet.