Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap berbaloi, ringankan beban golongan sasar

Bernama
Februari 3, 2023 12:34 MYT
Perkhidmatan itu disediakan dengan kelajuan 30 Mbps bersama data tanpa had hanya RM69 sebulan serta kontrak langganan selama 24 bulan. -Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Berbaloi! Itu reaksi kebanyakan golongan sasar termasuk Kumpulan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas yang bakal menikmati Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang ditawarkan bermula Mac ini.
Selaras komitmen kerajaan untuk menurunkan kos sara hidup rakyat, perkhidmatan itu disediakan dengan kelajuan 30 Mbps bersama data tanpa had hanya RM69 sebulan serta kontrak langganan selama 24 bulan.
Harga pakej ditawarkan pula adalah 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89, sekali gus membolehkan rakyat menikmati penjimatan RM480 sepanjang tempoh kontrak.
Di MELAKA, guru tuisyen sambilan Ruhaila Ismail, 34, berkata pakej itu akan memudahkannya mengadakan kelas tambahan secara dalam talian.
"Paling utama harga serta data tanpa had yang ditawarkan sangat berbaloi. Jadi saya tidak perlu bimbang untuk kehabisan data ketika mengajar dan mencari maklumat untuk sesi pengajaran saya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Di KEDAH, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusof menyambut baik pelaksanaan pakej itu kerana dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk turut serta menikmati kemudahan internet.
"Sudah pasti kita setuju dan menyambut baik pakej yang diumumkan itu kerana ia menjadi keperluan kerana zaman sekarang, semua memerlukan talian internet untuk melakukan urusan seharian seperti membayar bil atau membuat urusan di agensi-agensi berkaitan," katanya.
Bagi pekerja swasta Ahmad Mukhsein Mukhtar, 24, pula berpendapat pakej ditawarkan kerajaan itu berbaloi untuk golongan kurang berkemampuan yang dapat menjimatkan RM20 sebulan berbanding kos semasa asal RM89 sebulan.
Di PULAU PINANG, peniaga dalam talian Norhasnida Adnan, 42, berkata pakej itu dapat menjimatkan kos internet keluarganya setiap bulan, malah beliau sendiri dapat membuat pengiklanan beserta gambar produk lebih banyak di laman sosial.
"Setiap bulan saya dan keluarga mungkin bayar lebih RM100 untuk data internet namun dengan pakej ini kami akan jimat banyak, malah anak-anak bersekolah juga boleh guna data yang sama...nampak lebih mudah sebab kelajuan lebih tinggi," katanya yang mempunyai tiga anak berusia lapan hingga 15 tahun.
Di PAHANG, pesara kerajaan Razali Kasim, 65, berkata inisiatif dilaksanakan itu membuktikan kerajaan cakna dengan keperluan rakyat kini yang sememangnya memerlukan capaian internet dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata tawaran data tanpa had dengan bayaran RM69 sebulan akan memanfaatkan pengguna yang terdiri daripada pelbagai latar belakang terutama golongan B40.
"Ia pakej yang baik untuk rakyat, sebab kita semua tahu bayaran bil telefon dan internet bukannya murah kini serta ia merupakan keperluan semua orang," katanya yang menetap di Kuantan.
Sementara di TERENGGANU, pengenalan pakej itu adalah khabar gembira bagi seorang ibu tunggal Rabiatul Adawiyah Zakaria, 38, dari Flat Kondo Rakyat Kuala Ibai yang sudah lama berminat untuk melanggan perkhidmatan talian internet tetap bagi pembelajaran dua anaknya di rumah.
Beliau berkata caj perkhidmatan talian internet secara prabayar digunakan sekarang agak mahal iaitu kira-kira RM150 sebulan dan perkara itu disifatkan sebagai membebankan dirinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
-- BERNAMA
#Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap #golongan B40 #OKU #kos sara hidup rakyat
;