Pakej PERMAI: KKM lahir penghargaan kepada Perdana Menteri

Astro Awani
Januari 18, 2021 17:40 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan pengumuman langkah-langkah tersebut, KKM menyeru penularan COVID-19 diperangi secara bersepadu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dengan pengumuman langkah-langkah tersebut, KKM menyeru penularan COVID-19 diperangi secara bersepadu.
"Semasa pengumuman tersebut, KKM telah diberikan peruntukan sejumlah RM800 juta bagi keperluan petugas barisan hadapan yang melibatkan perolehan Kelengkapan Perlindungan diri (PPE), Reagen, Kit
Saringan, Hand Sanitizer dan Bahan Guna Habis (consumable).
"KKM juga telah diperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk penyediaan vaksin COVID-19 dengan pelan vaksinasi yang sedang dirancangkan akan bermula pada selewat-lewatnya pada bulan Mac 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Teks penuh pengumuman khas Pakej Bantuan PERMAI oleh Perdana Menteri
BACA: PKP 2.0: Kerajaan umum pakej PERMAI bernilai RM15 bilion
Selain itu, 3,500 kakitangan bertaraf kontrak akan diambil pada hujung bulan Januari 2021, melibatkan
jururawat, anggota paramedik dan sebagainya.
Manakala bagi mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan negara, RM100 juta disediakan untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta, di mana hospital swasta akan menerima dan merawat pesakit COVID-19 serta bukan COVID-19.
"Ia bertujuan mengurangkan kesesakan bilangan pesakit COVID-19 yang menerima rawatan daripada sektor kesihatan awam khususnya di hospital COVID19.
"Kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik COVID-19," ujarnya lagi.
#KKM #Perdana Menteri #Kementerian Kesihatan #Pakej Bantuan Khas #PKP #Dr Adham Baba #PERMAI #COVID-19 #Muhyiddin Yassin #kesihatan rakyat
;