Pakej PEMULIH dirancang rapi, menyeluruh - Pakar ekonomi
Umavathi Ramayah
Jun 29, 2021 04:40 MYT
Jun 29, 2021 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat dirancang rapi dan menyeluruh bagi memastikan tiada pihak yang tersisih dalam mendepani krisis COVID-19
Pakar ekonomi, Madeline Berma berkata, perkara itu dapat dilihat apabila manfaat seperti bantuan moratorium bukan sahaja dinikmati golongan B40, malah semua lapisan masyarakat di negara ini.
Menurutnya, pakej itu juga secara tidak langsung turut mencerminkan komitmen kerajaan yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Melihat pada Pakej PEMULIH, ia merangkumi semua lapisan masyarakat dan secara keseluruhan kepada semua golongan yang terjejas.
"Menariknya, bukan sahaja golongan B40, malah golongan M40 dan T20 juga diberi bantuan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Selasa.
Pengumuman itu dilakukan dua hari selepas kerajaan melanjutkan selepas kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh fasa pertama.
Dalam pada itu, Madeline berkata, pelaksanaan lockdown mungkin boleh dilaksanakan secara bersasar dan bukan secara menyeluruh.
Perdana Menteri ketika membentangkan PEMULIH berkata, pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.