Pakej pelancongan Seoul: Kim Seri mohon maaf, polis terima 5 laporan
Sinar Harian
Disember 18, 2024 16:06 MYT
Disember 18, 2024 16:06 MYT
SHAH ALAM: Pempengaruh media sosial, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 susulan pelbagai masalah yang timbul melalui pakej pelancongan ke Korea yang dikendalikannya.
Kim Seri menerusi laman Instagram berkata, dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah itu.
Menurutnya, dokumen akan diberikan kepada semua pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini.
"Pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan.
"Saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekaligus.
"Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran seperti berikut iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025," katanya.
Menerusi hantaran yang berbeza di platform yang sama, Kim Seri memberitahu dia pasrah jika hidupnya berakhir di jeriji besi.
"Jika jalanku nanti bawanya dengan rotan dan digantung tali, aku pasrah.
"Ia bukan lagi tentang rasa tenang dan takut, sekarang tentang redha dan pasrah. Setelah segala percubaan dalam menemukan jalan, ia masih didatangkan dengan pelbagai ujian," ujarnya.
Sementara itu, polis menerima lima laporan berhubung dakwaan menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan pempengaruh dan usahawan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu namun dijadikan laporan luar kawasan.
"Semakan dibuat mendapati ada lima laporan polis dibuat (berhubung dakwaan penipuan itu)," katanya hari ini. - Sinar Harian