Pakej P-hailing Rahmah: Usaha kerajaan wajar dipuji
Bernama
Januari 24, 2024 04:00 MYT
Januari 24, 2024 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pakej P-hailing Rahmah yang menawarkan perkhidmatan Internet pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB untuk pemandu dan penunggang p-hailing, membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan berkenaan.
Di PULAU PINANG, pekerja p-hailing Nor Hayati Ahmad, 32, berkata usaha kerajaan itu wajar dipuji kerana belum pernah ada mana-mana kerajaan sebelum ini yang memberikan tawaran sedemikian kepada mereka.
"Ini menunjukkan kerajaan MADANI hari ini amat prihatin dan mendengar keluh kesah serta kesusahan dihadapi golongan pekerja p-hailing serta sedaya upaya menyalurkan bantuan.
"Biarpun tawaran itu dilihat kecil di mata sesetengah pihak namun bagi kami ia amat besar maknanya apatah lagi pekerjaan ini memerlukan penggunaan data harian yang banyak," katanya.
Iskandar Zulkarnain Abdul Aziz, 30, yang tinggal di Tasek Gelugor pula berkata pakej itu mampu memberikan penjimatan kepadanya memandangkan sebelum ini dia perlu membayar harga lebih tinggi untuk mendapatkan pelan data.
"Harga RM33 untuk 40GB data pada saya agak murah dan menjimatkan kerana sekarang saya bayar RM48 untuk 40GB data," katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Pakej P-Hailing Rahmah iaitu perkhidmatan Internet yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula 23 Jan hingga 23 April depan.
Fahmi berkata pakej berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).
Sementara itu, di PAHANG penghantar makanan Grab, Mohd Rozaini Mohd Roslan, 32, berkata pakej khas telekomunikasi itu amat membantu meringankan beban kewangan mereka namun penjelasan lebih lengkap diperlukan tentang pelaksanaannya.
Dia yang terlibat dalam industri gig itu pada tahun lepas berkata, mereka sememangnya menggunakan data setiap hari bagi menerima dan melengkapkan pesanan, selain melayari Internet sementara menunggu pesanan disiapkan restoran.
"Kebanyakan kami sudah sedia ada data Internet kerana memang diperlukan. Saya sendiri mahu lihat terlebih dahulu, adakah kami perlu mendaftar pelan baharu untuk menikmati insentif ditawarkan atau boleh terus menggunakan pakej sedia ada dengan menolak bil apabila kita mengemukakan bukti bekerja sebagai penghantar makanan," katanya.
Di JOHOR, seorang penunggang p-hailing Rahmat Anuar, 29, berkata Pakej P-hailing Rahmah itu membantunya menjimatkan kos bagi menjalankan tugasan sebagai penghantar makanan.
"Jika diikutkan, pelan data yang saya guna sekarang ini lebih mahal berbanding inisiatif ditawarkan oleh kerajaan. Oleh itu, saya akan memanfaatkan peluang keemasan ini dan pada masa sama berharap kerajaan dapat meneruskannya," katanya yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Di SELANGOR, Iskandar Shah Ismail, 32, berkata inisaitif kerajaan dalam menyediakan pakej Rahmah itu adalah langkah tepat dan meringankan beban golongan sepertinya.
"Kerja kami ini memang menggunakan Internet, jika tiada (Internet) kami memang tidak boleh buat kerja. Selama ini saya menggunakan pakej berharga RM90, dengan bantuan kerajaan ini ia sangat menjimatkan," katanya. - BERNAMA