Pakej murah antara sebab keselamatan pendaki tergadai - Ravi Everest
Hamzah Hamid
April 15, 2015 21:14 MYT
April 15, 2015 21:14 MYT
Dalam pada usaha pencarian warga Malaysia Dennis Lee yang hilang sejak 5 April lalu diteruskan, isu keselamatan menjadi perkara utama yang perlu diambil perhatian oleh mana-mana pendaki pada masa hadapan.
Peringatan tersebut ditegaskan pendaki negara T. Ravichandran yang kini berada di Kathmandu dan baru sahaja pulang dari melalui trek yang sama bersama 11 pendaki di bawah seliaannya.
Mengulas mengenai nasib pendaki seperti Dennis yang masih belum ditemui selepas 10 hari dilaporkan hilang, Ravichandran berkata perkara itu dikhuatiri berlaku akibat daripada sesetengah agensi menyediakan jurupandu yang kurang berpengalaman.
“Terdapat banyak agensi di jalanan Nepal menawarkan harga pakej yang murah kerana mereka menyediakan jurupandu yang kurang berpengalaman, sedangkan jurupandu yang bagus sememangnya melibatkan kos yang lebih,” ujarnya yang dikenali dengan panggilan Ravi Everest.
Kehilangan Dennis Lee sudah masuk hari yang ke-10 namun usaha mencarinya sedang giat dijalankan. - Grafik Astro AWANI
Tambah Ravi, sesetengah agensi yang murah ini juga mempromosi perkhidmatan mereka melalui media sosial seperti Facebook.
“Agensi tersebut boleh menawarkan harga yang rendah kerana mereka hanya membekalkan jurupandu yang kurang berkemahiran, malah ada yang mengurangkan bilangan jurupandu,” jelasnya.
Sesetengah agensi juga, menurut Ravi, memerah tenaga sherpa yang menjadi jurupandu dan pengangkat barang dengan mengurangkan bilangan mereka bagi setiap kumpulan pendaki.
Itu menyebabkan sherpa itu terpaksa membawa banyak beban hinggakan tidak dapat memberi perhatian terhadap pendaki, katanya lagi.
“Maka pendaki terpaksa bergerak sendiri di laluan yang berbahaya. Apa saja boleh berlaku dan tiada yang akan ambil tahu tentang nasibnya,” ujarnya.
Menurut Ravi, trek Annapurna sepatutnya mengenakan bayaran di antara AS$800 hingga AS$1,000 (kira-kira RM3,000 ke RM3,700) untuk 12 hingga 14 hari pendakian.
Harga yang ditawarkan di jalanan pula adalah di antara AS$500 hingga AS$700 (kira-kira RM1,900 ke RM2,600) tetapi nilai perkhidmatan dikurangkan manakala risiko pula bertambah.
Ravi melatih pendaki selama dua bulan sebelum membenarkan mereka menyertai misi pendakian melebihi ketinggian 2,500 meter. -Foto sumber T. Ravichandran
Ravi berpendapat, apa yang berlaku terhadap Dennis adalah masalah yang berkait dengan pengurusan kumpulan pendaki oleh agensi yang dipilihnya.
“Ahli kumpulan pendaki perlu bergerak bersama-sama dan dalam kadar langkah yang bersesuaian serta tidak terlalu cepat. Sekiranya ada yang terpisah, dia perlu ditemani jurupandu.
“Ada kalanya seseorang pendaki terpisah daripada kumpulan dan apabila mendapat serangan penyakit akut ketinggian (AMS), mereka membuat kesilapan yang mengancam nyawa,” terang Ravi.
Tambahnya, mendaki di atas paras 2,500 meter melibatkan kesedaran tentang AMS dan jurupandu berpengalaman sepatutnya menganalisis dan bertindak segera sekiranya berlaku masalah.
“Ahli kumpulan pendaki perlu bergerak secara berkumpulan dan saling melindungi serta mendengar arahan jurupandu yang sepatutnya mengajar dan menetapkan peraturan dalam pengurusan kumpulan," kata Ravi.
Cuaca cerah mengiringi kepulangan Ravi (tiga dari kiri) dan kumpulan pendaki di bawah jagaannya baru-baru ini dari trek Annapurna seperti yang dilalui Dennis Lee. -Foto sumber T. Ravichandran
ARTIKEL BERKAITAN: