Pakej Kita Selangor 2.0: RM200 juta laksana SCVP, percepat proses vaksinasi
Harits Asyraf Hasnan
Jun 9, 2021 17:47 MYT
Jun 9, 2021 17:47 MYT
KUALA LUMPUR: Selangor bakal melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP) seiring usaha mempercepatkan kadar vaksinasi di seluruh negeri itu menerusi peruntukan RM200 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara fokus penerima vaksin termasuk golongan warga emas dan pekerja industri, perkilangan serta perkhidmatan termasuk untuk generasi muda yang bakal berumur 18 tahun.
"Selangor bersedia untuk melaksanakan enrolmen ini bertujuan untuk meningkatkan tahap perlindungan kesihatan beberapa kumpulan sasar seperti golongan B40, warga emas, guru dan sebagainya daripada bahana virus COVID-19.
"Pelaksanaan SCVP tidak akan membebankan sistem kesihatan awam di negeri Selangor kerana kita mempunyai jaringan lebih dari seribu klinik-klinik pengamal perubatan am swasta (GP) yang bersama kita di bawah program Peduli Sihat yang bersedia melaksanakan program vaksinasi sama ada melalui pusat pemberian vaksin (PPV), rumah ke rumah mahupun premis ke premis," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Pakej Kita Selangor 2.0 yang diadakan secara maya pada Rabu.
Amirudin bagaimanapun menegaskan beliau akan segera bertemu pihak kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan program vaksinasi itu.
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV
#COVID-19
#Amirudin Shari
#program vaksinasi
#warga emas
#guru
#vaksin
#Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor
#Pakej Kita Selangor 2 0