Pakej Kita Prihatin disifatkan memahami keadaan rakyat, majikan

Hasimi Muhamad
September 23, 2020 20:22 MYT
Anita berkata, program Subsidi Upah dan morotarium memberi lebih nyawa kepada majikan yang terjejas akibat ksisis kesihatan.
Keputusan kerajaan memperkenalkan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion hari ini disambut baik oleh golongan majikan dan rakyat di negara ini.
Rata-rata mereka menyifatkan kerajaan begitu memahami keadaan rakyat dan majikan yang masih bergelut susulan impak COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI di Kota Kinabalu pada Rabu mendapati kebanyakan kumpulan berkenaan bersyukur dengan bantuan yang diumumkan itu.
Pekerja restoran, Mariam Serail,48, berkata bantuan BPN 2.0 meringankan bebannya sebagai ibu tunggal.
“Saya ini cuma pekerja dan ibu tunggal, bantuan itu boleh juga meringankan beban sedikit sebab saya pun tiada pekerjaan yang tetap... gaji pun tidak tetap.
“Kalau ramai orang (pelanggan) ada lebih sikit (pendapatan), kalau tiada orang sikit saja,” katanya ibu kepada dua cahaya mata itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AFCL BioScience Sdn Bhd, Anita Mohamad berkata, program Subsidi Upah dan morotarium yang dinikmati oleh majikan memberi lebih ‘nyawa’ kepada majikan yang terjejas akibat ksisis kesihatan.
“Saya secara peribadi melihat ia inisiatif kerajaan yang sangat baik kerana memang penyambungan moratorium diperlukan oleh syarikat atau individu yang berniaga seperti perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga kecil.
“Jadi kita sangat-sangat berharap moratorium dan PRIHATIN ini diteruskan kerana ia benar-benar memberi impak yang sangat baik kepada para peniaga dan pengusaha,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM7 bilion yang disalurkan melalui BPN 2.0.
Peruntukan tersebut akan disalurkan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang sudah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.
Selain itu, program Subsidi Upah diperkenalkan dengan memberi keutamaan kepada syarikat yang menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lepas.
#bantuan #BPN #bujang #COVID-19 #keluarga #kerajaan #KITA PRIHATIN #majikan #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PRIHATIN
;