Pakej jalur lebar RM69, data tanpa had mula ditawar bulan depan - Fahmi
Ridauddin Daud
Februari 2, 2023 18:55 MYT
Februari 2, 2023 18:55 MYT
PUTRAJAYA: Golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas kini boleh mendapatkan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had dengan harga hanya RM69 sebulan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap itu akan mula ditawarkan bermula Mac 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Fahmi berkata pengumuman itu selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan menurunkan kos sara hidup rakyat.
“Harga pakej yang ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89, bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.
“Pakej ini adalah dengan kerjasama daripada syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro,” katanya menurut kenyataan tersebut.
Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tawaran terbaharu itu juga merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.
“Semuanya terus berusaha dalam memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia Madani,” ujarnya.
Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas, yang akan berada di pasaran mulai Februari.
Pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.