Pakej internet RM69: Kaji semula kontrak 24 bulan - MCCA
Madiha Abdullah
Mac 31, 2023 11:58 MYT
Mac 31, 2023 11:58 MYT
KUALA LUMPUR: Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Fixed Internet Broadband) dengan harga RM69 sebulan yang ditawarkan kerajaan merupakan satu langkah yang harus dipuji, namun masih boleh ditambah baik.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, antara perkara yang perlu dikaji semula ialah kontrak 24 bulan yang ditawarkan bersama pakej itu.
"Kalau niat kerajaan adalah untuk membantu, sepatutnya tidak perlu ada kontrak sebab ia beri tanggapan kapitalisme. Membantu rakyat perlu telus, tetapi kontrak akan mengikat pengguna dan beri rasa kurang selesa.
"Kerajaan perlu teliti semula kontrak ini. Bantuan seharusnya clear cut, apabila ada kontrak seolah-olah ada syarat tersembunyi.
"Jika golongan sasar adalah golongan yang memerlukan, bermakna pendapatan mereka tidaklah dalam zon yang stabil. Ada masa akan jadi kritikal dan untuk B40, RM69 itu sangat banyak, ada bulan mereka memerlukan duit lebih, contoh kalau anak nak masuk sekolah," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kos Sara Hidup di Astro AWANI, pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, beliau berpendapat pengguna juga perlu rasional dalam menuntut kualiti yang setanding dengan harga.
"Pengguna kena jadi smart consumer, tak boleh rasa dia betul sepanjang masa, kena ada rasional.
"Pengguna berhak menyuarakan aduan atau rasa tidak puas hati, tetapi perlu dibuat menerusi saluran yang betul dan mengambil kira banyak faktor.
"Sebagai contoh, peralihan 4G ke 5G bermula dengan capaian jalur lebar dari kabel dasar laut, masuk ke dalam negara kita dan ada juga infrastruktur lain yang perlu disusun.
"Ia juga bergantung juga pada kepenggunaan, kalau kita mahu 5G, kena sedar juga yang kebanyakan yang menggunakan 5G ini adalah industri. Jadi kalau kita sebagai pengguna hanya mahu internet untuk WhatsApp, jadilah pengguna yang bijak dan terima 4G cukup untuk kita," tambahnya.