Pakej internet murah: Perlu tingkat kualiti perkhidmatan di Sabah
Bernama
Februari 2, 2023 04:40 MYT
Februari 2, 2023 04:40 MYT
KOTA KINABALU: Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang diumumkan semalam diharap akan dinaik taraf dengan langkah lebih berkesan bagi meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini.
Rata-rata rakyat Sabah memberitahu pakej itu akan membolehkan antaranya kumpulan B40 serta kumpulan sasar kurang berkemampuan memiliki internet jalur lebar berkelajuan tinggi, namun ia tidak begitu bermakna sekiranya liputan internet masih tidak mencapai tahap yang memuaskan.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata capaian internet di Sabah yang masih berada pada tahap belum memuaskan pada masa ini dikhuatiri boleh menjadi kekangan utama objektif pakej itu memberikan internet jalur lebar dengan harga murah kepada rakyat negeri ini.
Beliau berkata amat sukar untuk melihat kesan pakej itu kepada kehidupan golongan sasarnya di Sabah sekiranya golongan itu tidak dapat menikmati perkhidmatan itu dengan baik akibat kekangan perkhidmatan talian internet di negeri ini.
"Saya amat harap kerajaan akan dapat menambah baik pemasangan internet dengan lebih banyak menara dibangunkan di luar bandar supaya golongan sasar benar-benar dapat menikmati insentif daripada kerajaan ini," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dalam satu kenyataan semalam, mengumumkan pakej berkenaan yang disasarkan bagi membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas dengan harga lebih rendah.
Muhamad Lizan Mat Sittim, 30, yang juga seorang OKU, berkata pakej itu menjadi harapan golongan sasar seperti OKU menikmati kemudahan internet murah dan tidak ketinggalan dengan dunia alam siber kerana zaman sekarang lebih banyak menggunakan internet.
Bagi Affidah Othman, 43, seorang suri rumah, pula berpendapat pakej kelajuan sehingga 30Mbps itu diakui menjimatkan perbelanjaan bulanan sehingga RM20 apabila asalnya RM89 diturunkan kepada RM69, namun beliau masih mahu melihat apa yang dilakukan syarikat telekomunikas (telco) untuk menjayakan pakej itu.
"Telco perlu seiringan dengan komitmen kerajaan dalam isu ini, tidak bermakna jika kerajaan berusaha memperkenal pakej ini tetapi Telco masih menawarkan perkhidmatan di takuk lama, saya mahu tunggu dan lihat apa perancangan Telco selepas ini," katanya.
-- BERNAMA