Pakej Internet: KKD teliti langkah pastikan kualiti perkhidmatan seperti dijanji - Fahmi

Abd Hadi Che Awang
Mac 30, 2023 15:35 MYT
Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil melakukan gimik pelancaran Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap Home (Home Internet) di Dewan Penduduk Taman Sri Wangi, hari ini. - Foto BERNAMA
SUNGAI PETANI: Beberapa langkah sedang diteliti secara lanjut oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam memastikan kualiti perkhidmatan terutamanya melibatkan pakej internet daripada syarikat telekomunikasi adalah sama seperti yang dijanjikan kepada pelanggan ataupun lebih.
Menteri KKD, Fahmi Fadzil memaklumkan, pihaknya menyerahkan tanggungjawab dalam mengurus serta menyelesaikan isu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan turut melibatkan syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.
"(Saya) setuju (berkaitan isu itu), saya pun hadapi masalah itu, hari ini ada tauke dari TM, saya guna Unifi dekat rumah tetapi antara yang dipaparkan dengan (apa) yang dapat ada isu.
"Some of it (mungkin masalah) technical, some of it have to do with (kepadatan pengguna), apabila digunakan, waktu itu mungkin waktu puncak, ramai yang gunakan, mungkin bandwidth itu bukan throttle tetapi ada choke point sedikit, dia berlaku network congestion," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) di Dewan Penduduk Taman Sri Wang, Sungai Petani pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan masalah yang berbangkit mengenai 'dropped calls' yang berlaku susulan isu teknikal membabitkan perkongsian rangkaian (network sharing) antara menara telekomunikasi diharap dapat diselaraskan antara syarikat-syarikat telekomunikasi menjelang Jun tahun ini.
"Saya sudah umumkan sebelum ini hasrat saya dan pihak kementerian untuk membantu menyelesaikan masalah network sharing, ini berlaku apabila kita pergi dari satu tempat ke satu tempat tetapi mengalami masalah 'dropped calls' akibat daripada isu antara menara.
"Ini saya harap dapat diselaraskan antara semua syarikat telekomunikasi menjelang bulan Jun 2023," katanya lagi.
#Fahmi Fadzil #pakej internet #KKD #Sungai Petani
;