Pakej Bantuan PEMERKASA beri kelegaan buat kontraktor - PKBM

Fareez Azman
Mac 18, 2021 11:26 MYT
AZMAN: Sekurang-kurangnya warga kontratror boleh meneruskan kelangsungan hidup buat masa ini, terutama menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan dalam menambah jumlah peruntukan bagi projek berskala kecil di bawah pakej bantuan PEMERKASA memberi ruang bernafas buat kontraktor yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Azman Yusoff memuji keputusan kerajaan menambah jumlah peruntukan bagi projek tersebut tahun ini, daripada RM2.5 bilion kepada RM5 bilion.
“Tambahan peruntukan ini adalah durian runtuh kepada warga kontraktor khususnya kontraktor Bumiputera yang sebelum ini berdepan pelbagai kesulitan serta masalah kewangan sepanjang tempoh negara bergelut dengan situasi pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia atas pengumuman PEMERKASA pada Rabu.
Azman berkata, antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 adalah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir.
Ia juga termasuk pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata, termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.
BACA: PEMERKASA: Bantuan moratorium bersasar masih lagi dibuka - PM Muhyiddin
Tambahnya, peruntukan itu memberi kelegaan buat para kontraktor bagi meneruskan survival perniagaan ketika ini dengan mendapatkan peluang pekerjaan pada waktu yang mencabar ini.
“Sekurang-kurangnya warga kontratror boleh meneruskan kelangsungan hidup buat masa ini, terutama menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
“Dengan peruntukan itu, PKBM berharap agihannya juga boleh dikhususkan kepada kontraktor muda B40 yang baru menceburi diri menjadi usahawan.
"Selain itu, agihan boleh diberi kepada kontraktor wanita yang semakin hari bilangannya semakin bertambah ramai,” katanya lagi.
BACA: PEMERKASA: Dana tambahan RM500 juta bagi pembiayaan mikro kredit - PM Muhyiddin
Dalam pada itu, Azman turut menyeru ahli-ahli PKBM supaya meningkatkan ilmu pembinaan termasuk mengaplikasi penggunaan teknologi canggih seperti Sistem IBS, BIM dan sebagainya.
Di samping itu, mereka juga digalakkan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang terjejas hilang punca pendapatan.
Ia bagi meringankan beban mereka dan mewujudkan lebih banyak pekerja tempatan dalam bidang itu.
“Terima kasih juga kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) khususnya Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Haji Fadillah Yusoff kerana ambil peduli dengan masalah kontraktor.
"Beliau sanggup turun padang mengadakan pertemuan bersama PKBM dan persatuan lain, dalam sesi libat urus bersama syarikat-syarikat konsesi jalan Semenanjung Malaysia.
“Semoga kerjasama ini dapat diteruskan demi manfaat warga kontraktor keseluruhannya,” katanya lagi.
#PKBM #Kontraktor #Bumiputera #Azman Yusoff #projek berskala kecil #PEMERKASA #pakej bantuan #inisiatif kerajaan #durian runtuh #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #pandemik #usahawan #ilmu pembinaan #teknologi #pekerja tempatan
;