Pakatan Rakyat kutuk penggulingan Morsi

Haider Yutim
Julai 4, 2013 16:08 MYT
Pakatan Rakyat hari ini mengutuk tindakan penggulingan yang telah dilakukan oleh tentera Mesir terhadap Presidennya, Mohamed Morsi.
Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menolak penggulingan tersebut kerana ia telah mengenepikan suara rakyat negara itu melalui undi pilihan raya yang disifatkannya adil dan bersih.
“Morsi telah dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi secara adil dan telus namun kemenangan beliau dirampas secara zalim,” kata beliau pada pemberita.
Katanya sebarang proses rundingan atau bantahan terhadap presiden hendaklah dilakukan dengan baik dan bukan menerusi rampasan kuasa.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut menyelar tindakan tersebut dan mengajak masyarakat dunia mungutuk tindakan yang dikenakan ke atas Morsi itu.
Tentera Mesir pada hari ini telah menyingkirkan Presiden pertama negara itu yang pilih secara demokrasi selepas setahun memerintah.
Berikutan itu, tentera Mesir mengumumkan penggantungan perlembagaan, pembentukan kerajaan sementara dan satu pilihan raya baru.
Penglima Angkatan Tentera, Jeneral Abdul Fattah El-Sisi dalam pengumumannya turut menamakan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Adly Mansour sebagai presiden sementara sehingga pilihan raya baru diadakan.
#Anwar Ibrahim #Morsi #Pakatan Rakyat #penggulingan #tentera
;