Pakatan perniagaan gesa rangka akta COVID-19; elak tindakan undang-undang
Bernama
April 29, 2020 04:46 MYT
April 29, 2020 04:46 MYT
Satu pakatan persatuan perniagaan Malaysia merayu kerajaan untuk mempertimbang penguatkuasaan akta khusus COVID-19 yang antara lainnya bertujuan mengelak syarikat dikenakan tindakan undang-undang kerana gagal menunaikan obligasi kontrak akibat penularan wabak tersebut.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan dapat membentangkan rang undang-undang/akta berkaitan (Langkah-Langkah Sementara) dalam persidangan Parlimen akan datang pada 18 Mei ini untuk mengelak perniagaan terus lumpuh sekurang-kurangnya sehingga 31 Dis, 2020.
"Banyak perniagaan, khususnya dalam industri peruncitan, pengeluaran dan perkhidmatan mempunyai komitmen kontrak masing-masing. Sebaik PKP ini ditamatkan, mereka sebaliknya akan berdepan pelbagai tindakan dan pertikaian yang boleh memberi kesan buruk terhadap perniagaan.
"Rang undang-undang/akta itu perlu melibatkan aspek perkongsian beban kewangan termasuk daripada pemilik pusat beli-belah, lot kedai, pejabat dan kilang dari segi pengurangan sewa," kata Presiden McMillan Woods Association/Network of Accountants Datuk Seri Raymond Liew pada Rabu.
Liew berkata demikian pada sidang media bersama yang dianjurkan oleh 12 badan perniagaan dan perdagangan termasuk Persekutuan Rantaian Peruncitan dan Francais ASEAN, Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia dan Dewan Perniagaan Digital Malaysia.
Kumpulan persatuan perniagaan itu turut menggesa supaya kerajaan berunding dengan pihak terbabit bagi memastikan rang undang-undang itu lebih menyeluruh.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Persatuan Peruncit Bumiputera Syed Naqiz Shahabuddin berkata kebanyakan transaksi perniagaan tidak disertakan dengan dokumentasi kontrak sewajarnya.
"Sekiranya kontrak-kontrak ini ada klausa 'force majeure' (pengecualian) sekali pun, lazimnya klausa ini tidak dinyatakan secara tepat atau memihak kepada salah satu pihak,
"Oleh itu, dengan adanya satu rang undang-undang atau akta khusus seperti Akta COVID-19 yang amat bersesuaian untuk Malaysia kerana menetapkan situasi 'force majeure' bagi kedua-dua pihak; ia menggariskan bagaimana isu itu dapat diselesaikan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Datuk Michael Kang Hua Keong menyifatkan penguatkuasaan akta sedemikian sebagai amat penting bagi mengelak timbulnya banyak kes undang-undang.
"Jika tidak, kita akan menyaksikan peningkatan kes saman dalam tempoh enam bulan akan datang yang membabitkan majikan dan pekerja, penyewa dan tuan rumah selain bank dan pelanggan."
Malah, katanya, akta itu juga dapat membantu memastikan perniagaan dapat dilindungi daripada berdepan kemungkinan ditutup.
"Satu kaji selidik dalam kalangan PKS yang kita lakukan dan membabitkan 2,005 responden menunjukkan 25 peratus daripada mereka berhasrat untuk menutup perniagaan manakala 40 peratus lain merancang untuk memberhentikan pekerja masing-masing.
"Banyak PKS yang turut mengalami krisis dari segi aliran tunai," katanya.
-- BERNAMA
#akta
#akta khusus
#aliran tunai
#COVID-19
#dokumentasi kontrak
#krisis
#Malaysia
#pakatan persatuan perniagaan
#Parlimen
#perkongsian beban kewangan
#perniagaan
#perniagaan lumpuh
#PKS
#syarikat
#transaksi
#undang-undang