Pakatan pegawai kanan Kerajaan antara faktor berlaku penyelewengan - Nur Jazlan
Harits Asyraf Hasnan
Mac 22, 2016 17:16 MYT
Mac 22, 2016 17:16 MYT
Ketirisan, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam sesebuah kementerian berlaku apabila wujudnya pakatan dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.
Itu salah satu faktor yang diutarakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berpandangan pakatan yang terbentuk itu mampu menafikan prosedur yang ditetapkan bagi mengelak salah guna kuasa berlaku.
"Prosedur kewangan memang sudah mantap. Masa saya jadi Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) dulu pun prosedur kewangan yang sudh ada memang mantap.
"Tetapi apabila berlakunya kolusi (atau) pakatan antara pegawai-pegawai dalam kementerian, itu boleh mengalahkan prosedur-prosedur yang menghalang salah guna kuasa berlaku," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, jelas Nur Jazlan prosedur kewangan yang dijalankan ketika ini adalah mantap apabila ia turut dipantau Jabatan Audit Negara dan Jabatan Akauntan Negara.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, prosedur kewangan semua kementerian wajar dikaji semula bagi mengelak isu ketirisan berulang.
Tegasnya, beliau akan mengusulkan perkara tersebut dalam mesyuarat kabinet akan datang.
"Saya bersetuju untuk melihat segala perkara yang boleh menjerumus kepada penyalahgunaan kuasa sebagaimana kita dengar baru-baru ini.
"Dalam masa yang sama juga, kita mesti melihat kembali dari segi berapa lama tempoh seseorang pegawai di tempat strategik, misalnya menjadi setiausaha bahagian kewangan itu sendiri," katanya.
Menurut Ahmad Shabery, seseorang pegawai seperti setiausaha bahagian kewangan sepatutnya tidak berada di posisi yang sama mahupun kementerian yang sama melebihi tiga tahun.
Ini dapat mengelakkan daripada seseorang pegawai itu mahir kaedah yang membolehkannya menyalahgunakan kuasa.
Pandangan sama turut disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
"Pada saya, apa yang penting adalah kadang-kala dalam prosedur ini terlalu banyak beri budi bicara. Jadi kita kena lihat apa budi bicara tersebut.
"Kadang-kala kita terlalu memberi kelonggaran kepada mana-mana ketua atas budi bicara mereka. Jika budi bicara itu tidak diberi intepretasi yang jelas, akhirnya kemungkinan boleh berlaku penyalahgunaan kuasa," jelasnya.
#Datuk Nur Jazlan Mohamed
#ketirisan
#pentadbiran kewangan kerajaan
#penyelewengan
#salah guna kuasa
#Timbalan Menteri Dalam Negeri