'Pakatan Harapan tidak ada kuasa boikot Bajet 2016' - KJ

Wan Syamsul Amly
Oktober 22, 2015 17:38 MYT
KJ: 'Pakatan Harapan tidak ada kuasa boikot Bajet 2016' - Gambar fail
Gabungan Pakatan Harapan diminta tidak mengambil risiko dengan gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang meminta pembangkang tidak menyokong pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu sebenarnya tidak membawa sebarang faedah untuk kemajuan dan pembangunan negara.
"Kita cukup bilangan ahli Parlimen untuk luluskan belanjawan. Ia mesti diluluskan.
"Kalau tidak lulus kita akan menjadi seperti kerajaan Amerika Syarikat (AS), kerajaan lumpuh. Gaji tidak dibayar, perkhidmatan rakyat terpaksa dihentikan sebab tidak ada kelulusan Parlimen untuk membelanjakan duit," katanya.
Khairy berkata demikian semasa sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan dan Malaysia Marine and Heavy Enginneering Sdn. Bhd. (MMHE) di lobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Khamis.
MoU itu akan memberi peluang 30 pelajar untuk menjalani latihan industri di dalam bidang-bidang tertentu selama satu sehingga tiga bulan setiap tahun.
Selain itu, sebahagian daripada mereka akan diserap masuk kepada tenaga kerja sepenuh masa selepas tamat pengajian kelak.
Ia mensasarkan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam penyelarasan serta penyusunan jenis tugasan yang akan dilaksanakan oleh pelajar.
Dalam pada itu, MoU itu juga bakal menyediakan peluang sehingga 10 tenaga pengajar IKBN untuk menyertai latihan penempatan industri di dalam jurusan yang dipersetujui bersama.
Pada Rabu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyelar Pakatan Harapan kerana gagal menjalankan tugas membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dan menggesa semua ahli Parlimen agar tidak menyokong pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Maria turut menyelar Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah dan juga PAS, kerana gagal menyelaraskan usaha untuk membawa usul itu.
Bagaimanapun pada Khamis, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail telah memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen.
Kata Wan Azizah, usul itu difailkan seperti diperuntukkan mengikut 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Konvensi Parlimen dan Peraturan 26 dan 27 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat Malaysia.
Jelasnya lagi, usul itu juga telah diterima oleh Pejabat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
#Bajet 2016 #KHAIRY #Pakatan Harapan
;