Pakatan Harapan Perak masih kukuh, tiada perpecahan - Muhyiddin
Firdaus Azil
November 9, 2019 12:56 MYT
November 9, 2019 12:56 MYT
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin menganggap Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) masih kukuh, dan tiada perpecahan dalam kalangan komponen PH di negeri itu.
Walaupun tidak menafikan kemungkinan berlakunya perselisihan faham, namun ia tidak akan sampai ke tahap boleh menyebabkan pilihan raya negeri.
“Saya yakin Pakatan Harapan di Perak masih kukuh, kerana kita masih mempunyai kerusi majoriti, walaupun ada (masalah) biasalah antara parti parti seperti komponen pakatan itu sedikit sebanyak hubungan saya tak boleh nafikan.
“Tetapi yang harus mereka utamakan ialah kerjasama untuk tentukan Kerajaan Perak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terus mantap dan stabil, kerana kita ada tugas dan amanah yang perlu dilaksanakan untuk membangunkan Negeri Perak,” katanya kepada sidang media selepas meninjau kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini yang berharap dapat merampas kerajaan negeri Perak sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Ahmad Zahid berkata demikian sebagai respons terhadap penularan video membabitkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, salah faham yang berlaku adalah normal dalam sebuah pakatan parti yang besar seperti Pakatan Harapan, namun ia tidak sampai menjejaskan komitmen mereka dalam urusan pentadbiran.
“Kalau ada pandangan berbeda,...biasalah mana mana kerajaan sekali pun , malah dalam Barisan Nasional pun tak kurang haru biru juga.
“Contohnya keadaan seperti PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional, lepas itu ambil calon MCA, tetapi apa pun terserah kepada rakyat untuk buat penilaian,” katanya lagi.
#Barisan Nasional
#MCA
#Menteri Besar
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#PAS
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#PPBM
#Presiden Bersatu
#UMNO
#Zahid Hamidi