Pakar undang-undang antarabangsa, Prof Rothwell sampai syarahan ulung di USIM

Astro Awani
Februari 8, 2023 06:15 MYT
Profesor Rothwell berkunjung ke USIM dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bagi menyampaikan kuliah umum berjudul 'The Regime of Islands under International Law'. - Foto FSU USIM
KUALA LUMPUR: Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima kunjungan Profesor Donald R. Rothwell, professor undang-undang antarabangsa terkemuka dunia dari College of Law, Australian National University (ANU), Canberra pada 31 Januari yang lalu.
Beliau berkunjung ke USIM dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bagi menyampaikan kuliah umum berjudul ‘The Regime of Islands under International Law’ selain membuat kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor USIM, Prof Datuk Sharifudin Md. Shaarani.
Kuliah tersebut telah dihadiri lebih 60 peserta yang rata-ratanya para penyelidik dari USIM, universiti tempatan serta badan-badan yang berkaitan seperti Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pusat Hidrografi Nasional (PHN) dan Pusat Strategi Maritim dan Sejarah TLDM (PUSMAS).
Kerjasama dan hubungan akademik terjalin di antara FSU dan Profesor Rothwell menerusi pemilihan pensyarah kanan FSU, Prof Madya Mohd Hazmi Mohd Rusli sebagai felo penyelidik di ANU menerusi geran tajaan Department of Foreign Affairs (DFAT), Australia, pada tahun 2022.
Menerusi ‘fellowship’ ini, Profesor Rothwell dipilih sebagai mentor penyelidik yang terus menjalinkan hubungan dengan USIM walaupun fellowship tersebut telah berakhir Ogos 2022 yang lalu.
“Profesor Rothwell telah membincangkan isu-isu berkaitan regim kepulauan terutama di Asia Tenggara yang banyak melibatkan Malaysia sebagai negara jiran terdekat Indonesia.
“Subjek ini sangat penting terutamanya apabila Malaysia masih belum menyelesaikan masalah sempadan maritim dengan negara-negara jiran.
“Kehadiran pihak APMM, TLDM dan agensi lainnya menunjukkan kepentingan kuliah umum ini dalam membantu mereka memahami dan menangani isu-isu berkaitan.
“Para pelajar juga menunjukkan minat bagi mendalami pengajian dalam subjek ini dan diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pakar perundangan antarabangsa di Malaysia pada waktu akan dating,” kata Mohd Hazmi.
DFAT hanya menawarkan empat tempat kepada penyelidik dari seluruh dunia dan Mohd Hazmi adalah salah seorang yang telah terpilih.
Kunjungan Prof Rothwell ke FSU dan USIM adalah satu kunjungan yang bersejarah kerana ini adalah kali pertama seorang profesor undang-undang antarabangsa dari universiti terkemuka di dunia menjengah universiti yang sedang meningkat naik di rantau ini.
#undang-undang antarabangsa #syarahan ulung #Profesor Donald R Rothwell #USIM
;