Pakar tawar khidmat kepada kerajaan kaji semula undang-undang

Bernama
Oktober 4, 2019 06:37 MYT
Firdaus (tengah) bersama Pengarah MCCHR Edmund Bon (kiri) dan Sekretariat IGP (R&D) SAC R Munusamy (kanan) pada hari pertama PLS 30 Sept lalu. --fotoBERNAMA
Sekumpulan pakar undang-undang tampil ke depan untuk menawarkan bantuan kepada kerajaan bagi mengkaji semula 113 undang-undang sebelum ini dijanjikan untuk kajian semula tetapi tidak dapat berjalan lancar kerana kekurangan sumber dan kekangan masa dihadapi kerajaan.
Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) yang melakukan kajian undang-undang mengenai hak asasi manusia, merancang untuk menghasilkan draf pindaan dan bertemu dengan agensi berkaitan selain daripada kementerian menjelang awal tahun hadapan untuk mengemukakan cadangan pindaan, jika diperlukan.
Ketua Strategis Hak Asasi Manusia MCCHR, Firdaus Husni yang juga jurucakap untuk perbincangan Project Law Strike (PLS) berkata antara akta yang sedang dalam kajian kumpulan itu termasuk kebebasan berhimpun di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Kami mempunyai tiga bulan lagi untuk memperkemaskan draf itu sebelum bertemu dengan wakil kerajaan," katanya pada satu sidang media di sini pada Jumaat selepas berakhirnya PLS, satu sesi perbincangan kali pertama seumpamanya yang menyasarkan untuk membawa bersama-sama semua pandangan yang sering dikongsi bersama kerajaan.
PLS yang berlangsung selama lima hari dihadiri 30 pakar perundangan dari dalam dan luar negara, wakil-wakil masyarakat madani, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), ahli-ahli Majlis Peguam, ahli akademik dan pegawai kerajaan.
--BERNAMA
#akta #Akta Perhimpunan Aman 2012 #bantuan #cadangan pindaan #Firdaus Husni #hak asasi manusia #kaji semula #Kajian #kerajaan #Malaysia #MCCHR #pakar undang-undang #perbincangan #perhimpunan #PLS #Project Law Strike #undang-undang
;