Pakar psikologi 'on-call' dicadang bantu bomba kendali kes bunuh diri
Rahimah Abdullah
November 19, 2015 08:04 MYT
November 19, 2015 08:04 MYT
"Kes cubaan bunuh diri sepatutnya dikendalikan kaunselor atau pakar psikologi bagi memastikan teknik memujuk suspek berjaya dilakukan," kata Pakar Psikologi dari Universiti Malaya Profesor Madya Dr. Mariani Md Nor.
Jelasnya, ia penting memandangkan mereka adalah kumpulan terlatih yang mempunyai kepakaran berbanding anggota bomba yang tidak dilatih dengan kemahiran sama.
"Cadangan itu memang baik sekali kerana pakar psikologi dan kaunselor mereka memang diberi dari segi aspek kemahiran dan kaedah-kaedah sesuai yang diguna pakai dalam kes-kes tertentu untuk menyelamatkan mereka yang hendak bunuh diri," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Beliau mengulas cadangan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Kuala Lumpur, Azahar Yaacob yang mencadangkan pakar kaunseling atau psikologi dilantik dalam pasukan itu bagi menangani kes cubaan bunuh diri.
Menurut Azahar, anggota bomba dan penyelamat tidak dilatih dengan kemahiran bagi memujuk suspek dan hanya bergantung kepada pengalaman serta semangat kerja berpasukan badan itu.
Bagaimanapun, menurut Dr. Mariani, kajian yang mendalam mengenai implikasi cadangan berkenaan perlu dilakukan bagi mengelak sebarang kesulitan yang mungkin timbul.
Justeru, beliau mencadangkan pakar psikologi atau kaunselor sedia ada dipanggil ke tempat kejadian.
"Namun, kita perlu lihat kepada aspek implikasi yang lain juga kerana bukan setiap hari yang nak bunuh diri dan kalau nak pakar berkenaan ditempatkan di balai-balai bomba mungkin memberi implikasi kewangan dan sebagainya. Namun, jika pakar ini dipanggil semasa kejadian pada saya itu lebih bersesuaian.
"Justeru, saya bersetuju dengan kehadiran pakar psikologi yang diberi selok-belok memujuk sebab kita diberi latihan untuk memujuk dan komunikasi yang berkesan dan komunikasi verbal yang berlaku untuk memujuk," katanya lagi.
Secara purata satu hingga dua kejadian bunuh diri dilaporkan di Malaysia setiap hari bagi tempoh 2008 hingga 2010.
Berdasarkan statistik itu, 1,100 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh tiga tahun itu dengan nisbah lelaki berbanding wanita 2:1.