'Pakar pengajian Islam jangan jumud, mesti dinamik dan profesional'
Azib Zikry
Julai 24, 2024 13:45 MYT
Julai 24, 2024 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pakar dalam bidang pengajian Islam mesti dinamik, berfikiran luas dan bersikap profesional, selain tidak 'jumud' dan bersandarkan kepada sejarah sahaja.
Demikian pandangan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Ahamed Kameel Mydin Meera berpandangan pengajian Islam seharusnya diintegrasi dengan bidang kepakaran yang lain bagi menyelesaikan permasalah umat ketika ini.
Menurutnya, pengajian Islam ini perlu pendidikan bersepadu dengan pelbagai bidang, yang menerapkan akhlak dan amalan tuntutan agama.
"Anda seharusnya menjadi seorang profesional dan menyepadukan bidang kepakaran di dalam Islam.
"Bukan sekadar lulusan pengajian iIslam seperti tahfiz, tetapi keluar dan tidak tahu untuk jadi apa," katanya.
Senada dengan itu, Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Wan Sabri Wan Yusof berpandangan isu berkaitan kerelevanan dalam bidang pengajian Islam adalah perkara mustahak yang harus diselesaikan segera.
Baginya Islam seharusnya dilihat menjangkaui kaca mata sebuah agama, tetapi ia adalah sebuah nilai yang perlu diterapkan oleh semua sama ada muslim ataupun tidak.
"Kita harus lihat bagaimana pengajian islam harus relevan, bagaimana ia boleh diajar atau dipelajari. Melihat konteks sekarang, yang lebih dinamik dan bukan lagi konteks historical (hanya sejarah).
"Jika hanya konteks masa lampau, hilanglah kedinamikan (pengajian Islam) yang seharusnya menjadi satu kewajipan, serta relevan kepada keperluan semasa," tambahnya lagi.
Pandangan itu dikongsikan dalam AWANI Pagi pada Rabu bersempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 dianjurkan oleh USAS pada 29 hingga 31 Julai ini.
Bertemakan ‘Together We Stand: Muslims and Global Humanity’, persidangan yang memasuki tahun ketujuh penganjurannya akan dirasmikan sendiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.