'Pakar masak dadah' warga Hong Kong ditahan, kokain bernilai RM8 juta dirampas

Astro Awani
Januari 17, 2025 19:49 MYT
Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 27 tahun itu mempunyai kepakaran untuk memasak kokain. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis membongkar makmal pemprosesan dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM8 juta di Jalan Klang Lama dan Segambut, di sini, susulan penahanan seorang lelaki warga Hong Kong, Rabu lalu.
Lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai kepakaran untuk memasak kokain itu ditahan di tempat pemunggahan sebuah gudang di Pusat Perindustrian Kuala Lumpur, Jalan Klang Lama, di sini ketika sedang menolak empat kotak troli dipercayai mengandungi cecair dadah kokain seberat 2.57 liter dan satu bekas plastik mengandungi ketulan dadah sama seberat 2.19 kilogram (kg).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, selain itu, polis turut merampas peralatan memproses dadah dalam kotak berkenaan sebelum suspek membawa pasukan serbuan ke satu lagi lokasi lain.
"Hasil pemeriksaan kemudian membawa kepada penemuan peralatan dan bahan-bahan kimia disyaki untuk memproses dadah seberat 3,517.25 liter dan 104 kilogram," katanya.
"Serbuan kedua di sebuah premis di pusat terbabit yang dipandu arah suspek, polis menemui peralatan dan bahan kimia disyaki untuk memproses dadah dianggarkan seberat 3,517.25 liter dan 104.9 kg," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Kok Chin memberitahu, antara barang yang dirampas adalah set tangki putih, tabung uji, serbuk 'power active carbon', sodium bicarbonate, cecair 'denatured ethyl alcohol', mesin pemanas air, mesin penukar voltan, mesin penyahairan dan pelbagai tong berisi cecair.
Katanya, soal siasat lanjut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Prima Impian, Segambut dan polis menemui bahan-bahan kimia disyaki untuk memproses dadah dianggarkan seberat 1 liter dan 3.2 kg.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati suspek turut mempunyai pasport United Kingdom (UK) dan masuk ke negara ini sebagai pelancong pada 3 Januari lalu.
"Suspek menerima bayaran RM5,000 sebulan sebagai 'tukang masak' dan kita masih siasat jika dia mempunyai pengalaman dalam bidang kimia namun kita percaya dia mempunyai latar belakang itu," ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada makmal terbabit mempunyai kaitan dengan kartel dadah Amerika Latin atau sindiket lain yang pakar dalam pemprosesan dan pengedaran kokain.
Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Kontinjen Kuala Lumpur.
#United Kingdom #Hong Kong #Dadah #makmal dadah
;