Pakar kesihatan Amerika puji Malaysia: 'Tindakan pantas cemerlang'
Harits Asyraf Hasnan
Mei 22, 2020 13:02 MYT
Mei 22, 2020 13:02 MYT
Tindakan pantas kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 mendapat pujian pakar kesihatan awam Amerika Syarikat.
Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Yale University, Prof. Dr Rick Altice berkata langkah pencegahan yang dilaksanakan Malaysia dibuat pada masa yang tepat dan sangat pantas.
“Mereka (Malaysia) berjaya melakukannya. Mereka bertindak dengan cepat, mereka melarang orang luar masuk (ke dalam negara), mereka melaksanakan kuarantin.
“Sekiranya saya tiba dua hari kemudian, saya mungkin tidak akan sampai di sana dengan mudah.
“Jadi saya rasa itu sangat penting. Saya fikir mereka telah melakukannya dengan sangat baik dan begitu awal. Itu sebenarnya bukti (keberkesanan) intervensi awal yang tidak berlaku di banyak tempat lain di dunia,” katanya.
Beliau berkongsi pandangannya itu menerusi sesi webinar yang dianjurkan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia pada Khamis.
Turut menjadi panel pada sesi itu adalah Dekan Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Malah, jelasnya Malaysia mungkin tidak akan mempunyai jumlah kes COVID-19 yang besar sekiranya berjaya menghalang penganjuran satu program agama yang menjadi punca penularan kes yang tinggi.
“Sebagai contoh perhimpunan agama, ia menyebabkan ribuan individu dijangkiti dan tercetusnya kluster yang besar.
“Malaysia mungkin tidak akan mempunyai situasi epidemik jika ia tidak berlaku. Ia mungkin hanya kes import dan tidak akan berlaku (situasi ketika ini) sekiranya perhimpunan yang ramai tidak berlaku.
“Saya perlu nyatakan yang saya merasakan Malaysia telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan mereka bersedia untuk ‘meraikannya’. Amerika Syarikat pula sedang bersedia untuk dikritik, apabila Malaysia pula bersedia untuk meraikannya,” jelasnya.
Malaysia menjadi antara negara tumpuan dunia berikutan usaha menentang COVID-19 yang dianggap berjaya.
Ia termasuk pengiktirafan daripada syarikat penyiaran antarabangsa CGTN kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
#Amerika Syarikat
#COVID19
#kesihatan
#koronavirus
#Malaysia
#pakar puji Malaysia
#perubatan
#Prof Dr Rick Altice