Pakar kardiologi negara, Dr Wan Azman, dianugerah gelaran Profesor Emeritus
Bernama
November 30, 2024 07:15 MYT
November 30, 2024 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pakar Kardiologi di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-64, pada Sabtu.
UM dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Canselor universiti itu berkenan menyampaikan anugerah berkenaan.
"Dr Wan Azman telah memberi sumbangan signifikan dalam kepakaran dan kepimpinan akademik di peringkat fakulti, universiti dan negara. Beliau telah berkhidmat lebih 40 tahun di UM, dengan sumbangan dan pencapaian beliau tidak dapat dinafikan lagi terutamanya kepada fakulti dan jabatan dalam bidang kardiologi.
"Sumbangan beliau yang paling signifikan adalah apabila memperkenalkan konsep hospital mesra ibadah di Pusat Perubatan Universiti Malaya yang masih diteruskan sehingga kini.
"Dr Wan Azman juga telah terlibat dalam membangunkan lebih 20 clinical practice guidelines serta menganggotai lebih daripada 100 jawatankuasa serta badan penasihat pelbagai atau kategori di peringkat universiti dan negara," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Dr Wan Azman dalam kenyataan sama berharap penganugerahan berkenaan dapat memberikan inspirasi kepada semua pelajar dan siswazah UM untuk menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang.
"Setelah berkhidmat lebih 40 tahun di UM, hari ini merupakan hari paling bermakna bagi saya kerana Tuanku Canselor sendiri yang menyampaikannya. Kenangan ini akan disematkan sebagai memori termanis buat saya. Kejayaan yang saya kecapi adalah kerana doa restu ibu bapa dan sokongan keluarga," katanya.
Beliau turut menyampaikan pesanan mengenai penyakit jantung yang semakin meningkat terutama dalam kalangan orang muda dan lebih membimbangkan kadar kematian akibat serangan jantung sangat tinggi.
Bagaimanapun, katanya penyakit jantung boleh dicegah dengan mengambil langkah pencegahan seperti berhenti merokok, menjaga pemakanan dan menukar gaya hidup yang lebih aktif.
Tahun ini, UM meraikan 9,253 graduan pada Istiadat Konvokesyen ke-64 dalam 16 sidang bermula 30 Nov hingga 8 Dis.
Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-64 telah diisytiharkan oleh Sultan Nazrin Shah.
Maklumat lanjut mengenai Istiadat Konvokesyen boleh layari e-book menerusi https://online.flipbuilder.com/terbit/fdan/
-- BERNAMA