Pakar cadang Labuan dijadikan pusat kewangan luar persisir sepenuhnya
Bernama
Disember 1, 2023 05:00 MYT
Disember 1, 2023 05:00 MYT
LABUAN: Golongan pakar industri dan pihak berkepentingan mencadangkan Labuan dijadikan pusat kewangan luar pesisir sepenuhnya dan dasar yang jelas untuk perusahaan luar pesisir diwujudkan yang bertujuan menarik pelabur antarabangsa dengan insentif cukai.
Dalam mesyuarat yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, lebih 20 pakar industri dan pemain dari pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, logistik, perkapalan dan pelancongan, bersama-sama membincangkan cabaran ekonomi dihadapi Labuan dan melihat pada penyelesaian yang boleh memulihkan kerelevanan Labuan melalui kajian semula dasar dan pemulihan.
Mereka berkata wujud keperluan untuk menilai semula dasar tadbir urus berhubung peranan Labuan sebagai pusat kewangan dan menetapkan dasar yang jelas untuk menarik pelabur antarabangsa ke bandar itu.
Dipengerusikan oleh Presiden Dewan Perniagaan Labuan (LCC), Daniel Doughty dan diketuai oleh Profesor Madya UMSKAL, Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, mesyuarat itu merupakan langkah proaktif untuk menangani isu-isu penting ekonomi dan pertumbuhan mampan yang menjejaskan Labuan.
Para peserta juga menekankan mengenai pelbagai perkara yang menjejaskan pertumbuhan pelancongan, antaranya adalah kerjasama dalam kalangan jabatan yang bertanggungjawab dan mempersoalkan penerbangan sewa khas di Lapangan Terbang Labuan yang terhad kerana kebimbangan berkaitan isu ketersambungan dianggap penting bagi pelabur dan pelancong.
Strategi ekonomi yang dicadangkan termasuk menggiatkan semula operasi 'Bagang' (untuk penternakan ikan bilis) di bawah seliaan UMSKAL dan melaksanakan Taman Pertanian Kekal untuk penyediaan sayur mampan.
Selain itu, pewujudan perkampungan budaya dicadangkan untuk menambah baik sektor pelancongan dan menjana pendapatan kepada pengusaha tempatan.
Subsidi bahan api dan dasar langit terbuka telah dibincangkan untuk menangani perbelanjaan yang semakin meningkat dan menambah baik kesalinghubungan antara Labuan dan Kota Kinabalu, Sabah.
Justeru, para peserta sebulat suara bersetuju untuk membentangkan penemuan dan cadangan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasminya pada 7 Disember depan.
- BERNAMA