Pakaian patuh syariah: Dengar keluh-kesah atlet - Syed Saddiq

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 29, 2019 16:06 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pandangan itu seiring pendirian yang turut diberikan atlet-atlet yang sudah memilih untuk memakai pakaian patuh syariah. - Gambar fail/BERNAMA
Semua pihak perlu mendengar keluh-kesah dan pandangan atlet dan persatuan sukan sebelum sebarang ketetapan berkenaan garis panduan dan cadangan pakaian patuh syariah diperkenalkan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pandangan itu seiring pendirian yang turut diberikan atlet-atlet yang sudah memilih untuk memakai pakaian patuh syariah.
“Sebelum kita lakukan apa-apa piawaian baharu, saya menyarankan kita semua mendengar keluh-kesah pandangan atlet dan persatuan sebelum pelan jangka masa panjang dibentuk. Ketegasan ini juga akan diberikan kepada atlet-atlet yang memilih untuk memakai pakaian patuh syariah.
“Jika mereka memilih itu, kita akan menyokong mereka sama saja. Jasa mereka pada negara sangat besar. Sebab itu kita tetap memberikan sokongan kepada mereka (atlet) tidak kira apa pun pakaiannya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang bertanyakan berkenaan rancangan dan usaha bagi memperkenalkan pakaian patuh syariah bagi semua aktiviti dan pertandingan sukan yang dianjurkan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurut Syed Saddiq lagi, atlet negara tahu mengenainya dan terpulanglah kepada mereka untuk membuat pilihan.
“Mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka dan kita yakin rakyat Malaysia akan menyokong tidak kira apa yang mereka pakai,” katanya.
#Dewan Rakyat #Malaysia #Menteri Belia dan Sukan #rakyat Malaysia #sukan #syariah #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;