Pakaian jururawat amat sopan, tidak wajar diperbesarkan - CUEPACS
Bernama
Jun 17, 2023 18:45 MYT
Jun 17, 2023 18:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpandangan isu etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan adalah kes terpencil dan tidak perlu diperbesarkan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata sebaliknya apa yang perlu diberikan keutamaan kini adalah dengan memberi fokus kepada permasalahan dan kebajikan warga kerja tersebut.
Beliau menjelaskan pemakaian dalam kalangan jururawat adalah bertepatan dengan kod pakaian profesion itu dan ia dibuat berdasarkan garis panduan yang sentiasa ditambah baik.
"Pemakaian seluar panjang dengan baju berlengan panjang ketika ini adalah amat sopan dan menutup aurat. Rekaan pakaian tersebut juga memudahkan pergerakan jururawat ketika melaksanakan tugas yang sentiasa memerlukan pergerakan fizikal.
"Soal pakaian ketat itu lebih kepada individu dan tidak menggambarkan keseluruhan jururawat dalam perkhidmatan awam. Dalam hal ini menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk membuat teguran dan memastikan etika pemakaian kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya, dalam kenyataan, hari ini.
Pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis lalu, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor mempersoal etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah.
Dalam pada itu, Adnan, berkata pihaknya menerima maklum balas menyatakan kualiti kain yang disediakan kepada jururawat tidak sama antara petugas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sedangkan mereka daripada kementerian yang sama.
"CUEPACS berharap Kementerian Kesihatan dapat memastikan kualiti kain yang diberikan berkualiti tinggi serta seragam untuk semua negeri.
"Hal ini perlu diberikan penekanan tegas kepada pembekal yang mendapat kontrak perbekalan. Begitu juga bayaran upah jahitan perlulah dibuat penambahbaikan dengan membuat pembayaran bersekali dengan perbekalan kain," katanya.
-- BERNAMA