Pakai pelitup muka dengan betul atau tanggalkan sepenuhnya - Dr Noor Hisham

Isabelle Leong
Julai 19, 2020 23:19 MYT
Poster dalam muat naik Dr Noor Hisham juga menyarankan orang ramai agar menanggalkan pelitup muka dengan sepenuhnya apabila makan, minum atau membuat sebarang aktiviti yang memerlukan seseorang itu untuk menanggalkan topeng muka. - Gambar BERNAMA
“Pakai pelitup muka dengan betul atau tanggalkan sepenuhnya.”
Demikian saranan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu muat naik di laman Facebook pada Ahad.
Muat naik Dr Noor Hisham tersebut turut disertakan dengan sekeping poster yang berjudul “Jangan turunkan pelitup muka di dagu”.
Poster tersebut juga menyarankan orang ramai agar menanggalkan pelitup muka dengan sepenuhnya apabila makan, minum atau membuat sebarang aktiviti yang memerlukan seseorang itu untuk menanggalkan topeng muka.
Sumber Facebook DGHisham
Hal ini kerana apabila pelitup muka tersebut dipakai di dagu, bahagian dalam pelitup muka akan tercemar.
Apabila dipakai semula di bahagian muka, mulut dan hidung akan terdedah kepada bakteria atau virus.
Pada Selasa lalu (14 Julai), Dr Noor Hisham mengalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka terutamanya di kawasan awam.
Katanya lagi, KKM tiada perancangan untuk menjadikannya mandatori bagi mengelakkan risiko gelombang baharu COVID-19.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata semuanya terletak pada inisiatif rakyat itu sendiri untuk mengamalkannya.
Ia kerana rakyat biasa kini merupakan 'frontliners' baharu dalam memerangi wabak COVID-19.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Facebook #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM #Lee Lam Thye #mandatori #pakai dengan betul #pelitup muka #tanggalkan sepenuhnya
;