Pak Wan tamatkan kayuhan solo promosi VM2020 di selatan Thailand

Bernama
Januari 1, 2020 17:56 MYT
Wan Hashim gembira kerana dapat menamatkan misinya pada kali ini selain dapat membantu negara mempromosikan VM 2020 dan TMK 2020 kali ini. - Bernama
Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood hari ini menamatkan kayuhan solonya menjelajah selatan Thailand sejauh 600 kilometer (km) bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020) dan Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020).
Mesra dipanggil Pak Wan, beliau yang berusia 73 tahun, memulakan kayuhan sejak 25 Disember lepas bermula di Kota Bharu sebelum ke Rantau Panjang di sini, dan memasuki selatan Thailand menerusi Sungai Golok dan bergerak ke Hatyai, Songkhla, Pattani, Narathiwat dan tiba di Sungai Golok, semalam.
Beliau kemudiannya tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang di sini, kira-kira 10 pagi tadi.
Ketika ditemui pemberita, Wan Hashim berkata beliau gembira kerana dapat menamatkan misinya pada kali ini selain dapat membantu negara mempromosikan VM 2020 dan TMK 2020 kali ini.
"Dengan mengayuh basikal, orang ramai dapat melihat dengan lebih jelas promosi yang dibuat oleh Pak Wan menerusi bendera dan pelekat yang dilekatkan di beg yang disangkut di basikal ini.
"Ia sekali gus dapat menarik perhatian masyarakat di selatan Thailand ketika Pak Wan berhenti rehat di mana-mana tempat sepanjang kayuhan berlangsung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Di Pintu Masuk Utama Negara Sempena VM 2020 dan TMK 2020.
Majlis sambutan yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancong dan Warisan Kelantan Datuk Hassan Mohamood itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selatan Thailand Rusdi Suchangkit, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud.
Wan Hashim berkata walaupun mempunyai masalah bahasa ketika berinteraksi dengan masyarakat di selatan Thailand namun ia tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk mempromosikan VM 2020 dan TMK 2020.
"Bagaimanapun perkara itu dapat diatasi menerusi penggunaan bahasa badan, gambar dan risalah yang dibekalkan oleh Tourism Malaysia sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
#kayuhan solo #MOTAC #selatan thailand #tahun melawat malaysia #VM2020 #wan hashim wan mahmood
;