Pak Samad: Selepas 50 tahun Malaysia, kita masih sering lupakan Sabah dan Sarawak

Irwan Muhammad Zain
September 15, 2013 10:00 MYT
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said berharap kerajaan menterjemahkan semangat kebersamaan semasa pembentukan Malaysia 50 tahun lalu dengan meningkatkan perhatian kepada Sabah dan Sarawak dan tidak memberikan tumpuan hanya kepada Semenanjung.
Perhatian yang dimaksudkannya itu ialah dengan membesarkan sambutan Hari Malaysia selain tumpuan dalam soal pembangunan sebagai pengisian kepada makna kemerdekaan yang dikecapi bersama antara Malaya, Sabah dan Sarawak.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia bukan hanya Semenanjung semata-mata tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak.
"Kita selalu berfikir atau terfikir atau teringat tentang hari merdeka di sini (Semenanjung) saja. Jarang kita berfikir bahawasanya kita ada keluarga yang lebih besar (di Sabah dan Sarawak)," katanya kepada Astro AWANI.
Tegas Samad, persaudaraan antara Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dikenali dengan nama Malaya dengan Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi cita-cita besar negara.
"Negara kita ini sebenarnya besar dan mempunyai penderitaan dan kebahagiaan sendiri.
"Saya mengambarkan setiap kali Hari Malaysia, oleh kerana kita merdeka dalam keluarga yang besar, kita menghitungkan nikmat yang bersama," katanya.
Samad berharap kerajaan memikirkan pengisian kemerdekaan yang lebih adil kepada Sabah dan Sarawak supaya nikmat kekayaan negara dapat dirasakan bersama.
"Perbaiki nasib orang di Sabah dan Sarawak. Kalau dapat biar ia setara dengan yang diberikan kepada (rakyat) yang di Semenanjung.
"Kalau ada projek yang munasabah untuk yang di Semenanjung, seharusnya juga ada projek yang munasabah untuk yang di Sabah dan Sarawak," katanya.
Penulis novel Salina dan Hujan Pagi ini menjelaskan dengan pengisian yang sebaiknya maka jurang yang dirasakan selama ini terutama di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dikurangkan.
Samad bagaimanapun tidak menafikan segala usaha yang telah dilakukan oleh pemerintah untuk membangunkan Sabah dan Sarawak selama tempoh 50 tahun ini sebaliknya mempersoalkan apakah segala usaha itu sudah mencukupi setara dengan tempoh 50 tahun itu.
Samad baru-baru ini terkait dalam kontroversi pengibaran bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan malam kemerdekaan dekat Dataran Merdeka dan disiasat oleh polis mengikut Akta Hasutan bersama aktivis politik Hishammuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim.
Ekoran kontroversi itu, pelbagai pihak mendesak supaya kerajaan menarik balik Anugerah Sastera Negara yang diberikan kepada beliau. Samad dalam reaksinya berkata beliau sedia gelaran itu ditarik balik dan gelaran itu bukanlah sesuatu yang beliau cari dalam hidupnya.
Beliau malah bersedia jika kewarganegaraannya ditarik.
#50 tahun malaysia #A.Samad Said #Sabah #Sarawak
;