Pak Nil kongsi ilmu keyakinan diri dengan pelajar sekolah di Kelantan
Bernama
September 23, 2019 16:53 MYT
September 23, 2019 16:53 MYT
Program 'Speaking Nation' Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) bagi mengasah bakat dan kemampuan murid anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Pesona yang diasaskan personaliti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi, hari ini melebarkan sayap penganjurannya ke negeri Kelantan.
Menurut Aznil, kunjungannya ke sini hari ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai pembinaan sahsiah diri kepada murid-murid yang terlibat sekali gus melahirkan generasi berkeyakinan, serta memiliki daya persaingan yang tinggi.
"Menerusi program ini saya cuma nak bagi perangsang kepada murid yang terlibat supaya menjadi lebih berani, kerana rata-rata yang saya perhatikan mereka tidak mempunyai keyakinan diri, dan takut sedangkan mereka tidak membuat kesalahan apa pun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program 'Speaking Nation' PAK21 Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong (1) di sini.
Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPN Kelantan, Mohd Hassany Hashim dan Penolong Pengarah Kurikulum (Sains Menengah) Sektor Pengurusan Akademik JPN Kelantan yang juga Penyeralas Program 'Speaking Nation' PAK21 Peringkat negeri, Mohd Zaid Mohd Zain.
Aznil yang juga dilantik oleh pihak KPM sebagai Ikon PAK21 berkata, menerusi konsep PAK21, lima elemen utama diterapkan kepada murid adalah elemen berkomunikasi dengan baik, kreatif, mampu berfikir di luar kotak, bekerjasama dalam kumpulan dan mampu mengekalkan nilai-nilai murni.
"Dengan adanya elemen-elemen ini ia dapat melahirkan golongan yang luar biasa dan bagi saya, nilai (murni) yang diterapkan dalam diri akan membezakan diri kita dengan orang lain tanpa mengira profesion apa pun,"katanya.
Kelantan menjadi lokasi kesembilan penganjuran program itu dengan penglibatan kira-kira 900 orang murid daripada 15 buah sekolah disekitar daerah ini antaranya SK Padang Garong (1), SK Padang Garong (2), SK Sri Bemban, SK Tanjung Mas, SK Penambang, SK Kampung Sireh , SK Merbau, SK Padang Kala dan SK Langgar.
Aznil berkata, program jelajah yang bergerak ke semua negeri ini akan diteruskan ke lokasi seterusnya antaranya di negeri Pahang, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Labuan yang dijangka akan berakhir pada Disember nanti.
Sementara itu, Mohd Hassany berkata, pihaknya berterima kasih kepada KPM dan Yayasan Pesona kerana membantu menaikkan semangat murid-murid yang terlibat dalam program ini terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
"Kita sedar kebanyakan pelajar tidak mempunyai keyakinan yang tinggi, jadi dengan penekanan nilai dan kasih sayang yang diterapkan oleh Pak Nil (Aznil) menerusi program ini dilihat dapat menjadi bekalan penting anak-anak pada masa hadapan mereka," katanya. - BERNAMA