Pak Mie rayu kerajaan negeri lanjutkan tempoh berpindah

Astro Awani
September 15, 2013 14:24 MYT
Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, sudahlah hajatnya untuk berpindah terhalang, malah usaha murni yang dilakukan oleh Pak Mie turut terbantut apabila dia menerima notis arahan untuk mengosongkan tanah rizab yang didiaminya sekarang sebelum 19 September.
Pasangan suami isteri, Md Azmi Ismail atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Mie’ dan isterinya Halija Idris sering menjadi perhatian negara berikutan tindakannya memelihara kira-kira 700 ekor anjing dan 100 ekor kucing terbiar di tanah rizab kerajaan, kira-kira 500 meter di belakang Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar Kedah.
Lebih malang lagi apabila tapak baru yang sedang diusahakannya juga tidak dibenarkan kerana timbul kebimbangan penduduk sekitar akan bahaya haiwan peliharaannya.
Menurut Pak Mie, dia berharap pihak kerajaan negeri dapat melanjutkan tempoh pengosongan agar dia dapat mencari lokasi alternatif, setelah pemindahan ke tempat perlindungan haiwan baru di Kuala Nerang mendapat bantahan daripada penduduk setempat.
“Saya mohon kepada pihak kerajaan, negeri atau mana-mana yang terlibat dengan perkara ini untuk lanjutkan tempoh pengosongan. Bukan saya enggan berpindah, saya tidak boleh berpindah dan terpaksa mencari satu lagi alternatif tanah yang sesuai. Mungkin saya akan dapat tanah yang baru barulah saya akan pindahkan semuanya,” jelas Pak Mie.
Tambah Pak Mie lagi, dia tidak menyangka akan menerima notis arahan pengosongan supaya keluar dari kawasan tanah rizab berkenaan sebelum 19 September depan, walaupun masih belum mendapat lokasi yang sesuai.
Katanya lagi, dia merayu agar pihak berkenaan memberikannya tempoh antara enam bulan hingga setahun kepadanya untuk menguruskan perkara tersebut termasuk mencari lokasi baru dan membina tempat perlindungan baru.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung, kebajikan haiwan terbiar itu menjadi tanda tanya malah dikhuatiri akan dibunuh jika Pak Mie perlu keluar apabila tempat perlindungan haiwan berkenaan dirobohkan.
Tambah Gooi, pihaknya akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk mencari jalan penyelesaian segera bagi mendapatkan lokasi alternatif agar pemeliharaan haiwan berkenaan dapat diteruskan.
“Adalah mustahil untuk mengosongkannya pada 19 September depan. Untuk itu, kita mahu satu monitorium atau satu lanjutan masa yang berpatutan dan saya akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk membuat rayuan. Kita berharap mereka akan mendengar suara kita dan suara NGO serta suara orang ramai yang menyokong usaha murni yang dilakukan oleh Pak Mie,” ulas Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Turut hadir beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Presiden Animal Welfare Society Malaysia, Shenaaz Khan, Presiden Save Our Stray (SOS), Apple Sham dan Presiden Society For The Prevention of Cruelity to Animal (SPCA) V.Devi.
#anjing #Pak Mie
;