Paip salur air ke LRA Kogopon pecah, pembaikan dijalankan tanpa henti - Armizan
Bernama
Mac 20, 2024 22:30 MYT
Mac 20, 2024 22:30 MYT
PAPAR: Paip utama bersaiz 121.92 sentimeter (paip 48 inci) dengan panjang 5 kilometer yang menyalurkan bekalan air mentah ke Lori Rawatan Air (LRA) Kogopon pecah dan kerja pembaikan sedang dijalankan tanpa henti, sejak pagi semalam.
Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerosakan dan kerja-kerja baik pulih itu menyebabkan hampir keseluruhan Papar mengalami gangguan bekalan air hari ini, dan lori tangki air telah digerak bagi menyalurkan bekalan air ke kawasan terjejas.
Beliau berkata paip itu pecah dipercayai kerana tekanan terlalu tinggi berikutan bekalan air terpaksa bergantung kepada LRA Kogopon kerana LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau tidak dapat beroperasi dan LRA Jetama tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh.
"Pembaikan ini juga menyebabkan lori kami sediakan mengangkut air sejak 23 Feb lalu tidak dapat bekalan air terawat. Diharap pembaikan siap hari ini untuk membolehkan proses rawatan air dibuat semula dan disalurkan melalui paip awam," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya di sini hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata LRA EWSS Limbahau terpaksa dihenti operasi pada 17 Feb lalu dan LRA Jetama tidak beroperasi penuh kerana kemasinan air mentah tinggi pada kadar 5,300 miligram/liter berbanding bacaan standard 120 miligram/liter kesan kemarau dan El-Nino.
Armizan berkata pihaknya telah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Air Negeri Sabah untuk membolehkan lori tangki mendapatkan air di LRA yang berdekatan bagi membolehkan penyaluran bekalan air ke kawasan terjejas tidak tergendala.
"Proses pengambilan air sedang berlangsung, lori kita sedang bergerak ke beberapa lokasi pengambilan air di luar Papar. Mohon maaf warga Papar, pastinya bekalan air ini akan terhad. Kita usahakan sebaik mungkin supaya pembaikan paip itu siap segera," katanya.
-- BERNAMA