Paip pembentungan awam bukan punca tanah jerlus di Kampung Kerinchi - IWK

Bernama
Ogos 30, 2024 13:15 MYT
Keadaan longkang runtuh sehingga mengakibatkan lubang besar berlaku di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi dalam kejadian yang berlaku pada Isnin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) menjelaskan kejadian tanah jerlus di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, Isnin lepas bukan berpunca daripada paip pembentungan syarikat itu.
Menurut IWK dalam kenyataan hari ini, pasukan operasinya telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapati aliran air kumbahan di jajaran paip pembetungan lancar seperti biasa.
"Pemeriksaan lanjut telah dibuat petang semalam dengan menggunakan kaedah kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil siasatan mendapati bahawa paip dan lurang pembetungan awam berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda kerosakan dikenal pasti," menurut kenyataan itu.
Syarikat itu berpendapat kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh punca lain yang memerlukan penyiasatan terperinci oleh agensi berkaitan.
Menurut IWK, hasil siasatan CCTV turut dimaklumkan kepada pihak DBKL.
DBKL dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa memaklumkan kejadian longkang runtuh itu mengakibatkan lubang besar di Kampung Kerinchi.
-- BERNAMA
#tanah jerlus #IWK #Kampung Kerinchi #paip pembentungan