Paip pecah siap dibaiki, bekalan air pulih sepenuhnya di Pasir Gudang

Siti Nur Aqilla Omar
November 4, 2022 13:10 MYT
Situasi bekalan air bersih terganggu akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam menyebabkan kira-kira 100,000 akaun pengguna terjejas. - Foto Facebook Onn Hafiz
PASIR GUDANG: Bekalan air yang terjejas di kawasan ini sejak seminggu lalu pulih sepenuhnya mulai tengah malam tadi dan paras air tangki juga kini kembali normal.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri telah berbincang dan meminta jasa baik Ranhill SAJ untuk melihat kepada kaedah bagi memberi rebat kepada semua pengguna yang terkesan.
"Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua penduduk dan sektor perniagaan di Pasir Gudang yang mengalami kesulitan akibat kejadian berkenaan," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak serta agensi dan organisasi terlibat yang banyak membantu dan menyalurkan bekalan air secara alternatif.
"Masalah air yang terjadi akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam berlaku di luar jangka, ekoran kerja teknikal yang dijalankan.
"Namun saya yakin tempoh bertindak serta terbitan jadual bantuan bekalan air mesti diperbaiki, jika berlaku lagi kejadian seumpama ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air, sama ada untuk kegunaan seharian penduduk mahupun sektor industri.
"Prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani perkara sebegini akan disemak dan ditambah baik agar bekalan air terawat akan terus dapat disalurkan kepada pengguna," katanya.
Dalam insiden itu, pelbagai agensi menghulurkan bantuan, termasuk Yayasan Raja Zarith Sofiah, Ranhill SAJ, Persatuan Bulan Sabit Merah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Pada Khamis, paip besar berukuran 1,000 mm dan 1,200 mm milik Ranhill SAJ yang sedia ada di tapak, pecah ketika ketika kerja menaik taraf dilakukan Pengurusan Aset Air Berhad.
Situasi itu menyebabkan kira-kira 100,000 akaun pengguna terjejas bekalan air bersih.
#paip air pecah #rebat kepada pengguna #Pasir Gudang #Bekalan Air Terawat
;