Paip pecah, bekalan air di Kota Damansara pulih pagi esok

Bernama
Februari 16, 2014 18:10 MYT
Gangguan bekalan air di beberapa tempat di Kota Damansara akibat paip pecah di Persiaran Surian di sini semalam, dijangka berakhir pagi esok.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Priscilla Alfred berkata kontraktor yang dilantik pihak terlibat kini membuat kerja pembaikan.
"Bila ia selesai, bekalan (air) akan disambung secara berperingkat mulai tengah malam ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Priscilla berkata insiden kira-kira 10.15 pagi itu menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan seperti Seksyen 11, 12, 13, 14, 19, 20, 21, SS1, SS2, SS3, SS4, SS5, SS6, SS7, Zon Perdagangan Besas (FTZ) SS8, SS9, SS9A, Sg Penchala, Kampung Kayu Ara, Universiti Malaya dan Setiapuspa.
"Kami tidak pasti berapa banyak isi rumah yang terjejas, namun jika perlu pihak Syabas akan menghantar lori tangki di kawasan itu bagi membantu penduduk menangani ketiadaan bekalan air," katanya.
Paip pecah yang dilaporkan ada kaitan dengan pembinaan MRT itu menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang Persiaran Surian dan kawasan sekitar.
#Kota Damansara #paip pecah
;