Paip pecah: 14 kawasan di Hulu Langat alami gangguan bekalan air
Astro Awani
Februari 28, 2023 11:10 MYT
Februari 28, 2023 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Bekalan air di 14 kawasan di wilayah Hulu Langat mengalami gangguan tidak berjadual akibat paip pecah di Persiaran Pekeliling, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja membaiki paip pecah berkenaan sedang dilaksanakan mulai jam 6.30 pagi tadi.
"Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 3 petang 28 Feb 2023 (Selasa).
"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.
"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," menurut kenyataan di Facebook rasmi Air Selangor hari ini.
Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air sedang digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan keutamaan diberi kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan.
Untuk maklumat lanjut, para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.