Paip pecah: 12 kawasan di Klang, Shah Alam alami gangguan air malam ini

Bernama
Disember 20, 2020 22:38 MYT
Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis serta tekanan air dan bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 5 petang.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam, Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 8.30 malam ini susulan insiden paip pecah di Jalan Seruling 59, Taman Andalas dekat Klang hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata bekalan air ditutup bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Kawasan yang terjejas adalah Taman Sentosa; Jalan Raja Nong; Jalan Bendahara; Jalan Bentara; Jalan Sg Jati; Jalan Temenggong, Jalan Laksamana; Taman Bijaya; Taman Rakyat; Jalan Seri Sarawak; Bandar Puteri, dan Bandar Putera 2, Klang.
"Kerja-kerja pembaikan dijangka akan siap dilaksanakan pada 7 pagi esok," katanya dalam kenyataan.
Katanya, pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat berdasarkan jarak premis serta tekanan air dan bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 5 petang.
-- BERNAMA
#gangguan bekalan air #Air Selangor #shah alam #Klang #paip pecah #tidak berjadual
;